Keluarga itu segala-galanya bagiku...
Author: Afiq Kamaruddin
Bismillahirrahmanirrahim
Pada hari ini, berlangsunglah program 3 hari 'Muslim Youth Camp' a.k.a MYC di Kolej Yayasan UEM. Program yang dikendalikan oleh MUSCOM junior ini sudah lama tertangguh lantaran beberapa perkara teknikal yang tidak dapat dielakkan. Alhamdulillah, dengan izin Allah serta kesungguhan pihak penganjur, dapat juga program itu direalisasikan.
Selaras dengan nama program berkenaan, sudah tentu pengisian program memfokuskan pembentukan 'Muslim Youth' atau remaja Muslim yang berkualiti. Modul yang dirangka oleh Syarikat konsultan Fitrah Perkasa terbukti mempunyai 'kelasnya' yang tersendiri. Masakan tidak, sejak awal penubuhan program ini yang menjadi aktiviti tahunan kolej, modul Fitrah Perkasalah yang menjadi modus operandi. Maka tidak hairanlah jika pelajar KYUEM mempunyai hubungan yang rapat dengan kaunselor-kaunselor daripada Fitrah Perkasa.
Program ini merupakan program yang ditunggu-tunggu oleh pelajar Muslim di KYUEM. Saya turut tidak ketinggalan merasai bahang MYC. Maklumlah, tahun lepas saya terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir kerana menghadiri kursus Asia Work Training. Kursus motivasi antarabangsa yang dibiayai sepenuhnya oleh syarikat yang menaja kos pembelajaran saya. United Engineers Malaysia.
Setelah melihat dan mendengar respons daripada peserta MYC yang lalu membuatkan saya tidak sabar untuk menyertai kem MYC pada kali ini. Masakan tidaknya, setelah membuat siasatan, rupa-rupanya terdapat beberapa orang peserta MYC yang lalu sanggup mendaftarkan diri sekali lagi untuk menyertai program ini buat kali kedua semata-mata kerana dahagakan input-input yang berharga yang mereka dapat semasa menyertai MYC dulu. Ada diantara mereka yang berasal dari malaysia timur. Kesungguhan yang ditunjukkan jelas membuktikan betapa MYC menyediakan sesuatu yang bernilai buat para peserta untuk diteladani.
Kita merancang, Allah juga merancang, namun Allah adalah sebaik-baik perancang.
Tidak dapat dinafikan, perancangan manusia tidak selalunya akan menjadi kenyataan walau selengkap manapun kita sudah bersedia untuk menghadapinya. Itulah yang dikatakan takdir. Bila tiba saatnya itu, apa yang perlu kita lakukan adalah berserah kepadanya kepada Tuhan yang merancang perjalanan seluruh alam semesta, Allah yang maha berkuasa. Sebab itu, kita tidak boleh terlalu berharap supaya sesuatu urusan itu akan terjadi, khususnya dalam sesuatu yang telahpun kita rancang dengan teliti. Kerana apa? Kerana dikhuatiri seandainya kita gagal untuk mencapai sesuatu yang dihajati, kita tidak dapat menerima kenyataan. Lalu segera menyalahkan takdir. Bukankah sesuatu yang berlaku itu atas ketentuan Allah juga. Kita hanya mampu berusaha, namun Allah penentu segala-galanya. Contoh yang paling mudah untuk direnungkan adalah saat menerima keputusan peperiksaan. Seandainya kita menerima sesuatu yang menyedihkan, tetapi kita yakin kita telahpun berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengelakkannya terjadi, yakinlah bahawa Allah merancang sesuatu yang lebih baik untuk kita. Kerana itu, perlunya kita untuk menyandarkan sesuatu keputusan itu kepada Allah, selaras dengan usaha yang telah kita lakukan.
Pada kali ini, sekali lagi saya terpaksa membatalkan hasrat menyertai MYC pada saat-saat akhir. Atas urusan pekerjaan, ayah saya telah berangkat ke negara Turki pada hari selasa yang lalu. Ayah akan berada disana selama satu minggu. Kebiasaannya, bapa saudara saya akan berada di rumah bagi menemani ibu dan adik perempuanku. Namun pada kali, beliau tidak dapat berbuat demikian kerana ada masalah yang perlu diselesaikan. Sebelum berangkat, ayahku berpesan :
"Afiq jaga rumah elok-elok, jaga ibu dan adik baik-baik..."
Setelah mendengar pesanan ayah, lantas saya mula berasa gundah untuk menyertai MYC. Seandainya saya pergi, bermakna pada hari Khamis ini ibu terpaksa menghantar saya pulang. Hal ini bermaksud, ibu dan adik perempuanku yang berusia 11 tahun akan berada keseorangan di rumah sehingga hari ahad sementara menunggu ayahku pulang. Memikirkan keadaan semasa yang tidak menentu, kes-kes pecah rumah yang dilaporkan semakin berleluasa sejak kebelakangan ini, kes-kes penculikan budak,mat ganja, dan sebagainya, tidak sanggup rasanya untuk saya membiarkan mereka keseorangan di rumah tanpa pengawasan. Selaku anak lelaki yang sulung, sudah tentu saya bertanggungjawab ke atas keselamatan dan kebajikan keluarga saya semasa ketiadaan ayah di rumah. Sudah tentu saya perlu melindungi keluarga saya walau apa juga yang berlaku. Sudah tentu saya perlu mengutamakan keluarga saya terlebih dahulu daripada MYC kerana ianya melibatkan keselamatan mereka. Lagipun seandainya saya pergi, kemungkinan hati saya jadi tidak tenteram kerana sibuk memikirkan keselamatan ibu dan adik di rumah. Sekurang-kurangnya, biarlah saya menghabiskan masa bersama-sama mereka memandangkan ibu meminta saya mengajarkan hukum tajwid, manakala adik pula meminta saya mengajarkannya teknik berpidato kerana pertandingan pidato peringkat sekolah rendah sudah dekat. Itulah hikmah bagi setiap kejadian yang menimpa. Sekurang-kurangnya, saya masih dikurniakan kesempatan untuk berbakti kepada mereka.
Keputusan telah dibuat, sekali lagi saya terpaksa membatalkan rancangan untuk menyertai MYC kali ini. Sebelum ini ibu bertanya kepada saya, bila saya akan pulang ke kolej. Saya katakan hari khamis kerana ingin menyertai MYC, ibu kelihatan sayu setelah mendengarnya. Tidak sanggup saya membiarkan ibu dan adik kesepian dan keseorangan di rumah sementara menunggu ayah pulang. Sungguhpun sedih kerana tidak dapat menyertai MYC buat kali terakhir sebelum berangkat ke luar negara, namun saya rasa bersyukur dan gembira kerana kehadiran saya di rumah membuatkan ibu dan adik rasa terhibur. Senyum tawa mereka membahagiakan dan menghiburkan saya. Melihat wajah tenang ibu yang semakin dimamah usia, saya rasa tersentuh dan terharu..sukar untuk digambarkan betapa mulianya perngorbanan insan yang bertarung nyawa membesarkan saya. Kisah Juraij mengingatkan saya betapa pentingnya kita untuk menjaga hati ibu dan mengutamakan ibu sungguhpun ketika itu kita sedang melakukan ibadat. Bait nasyid 'Lafaz yang Tersimpan ' nyanyian UNIC bermain-main difikiran : 'Usah biar kehilangan, menggantikan lafaz yang tersimpan...' Saya nekad, keluarga itu segala-galanya bagiku...biar hilang harta, jangan hilang nilai sebuah keluarga.
Buat pihak penganjur MYC serta rakan-rakan seperjuangan yang lain, ucapan ampun dan maaf ditujukan kerana tidak dapat menyertai MYC buat kali ini. Saya sentiasa mendoakan semoga program tarbiyah ini berjaya serta mendapat rahmat disisi ilahi. Semoga impak keberkesanannya dapat kita kongsikan bersama. Semoga keputusan yang dibuat adalah yang terbaik untuk kita semua. InsyaAllah..
"Dan kami perintahkan manusia agar berbuat baik kepada ibu dan bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusukannya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepadaku dan kepada ibu bapamu. Hanya kepada Aku tempat kembalimu."
Surah Luqman : 14
Wallahua'lam