Bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah
Tinggalkan segala yang meragukan, ambil segala yang diyakini kebenaran...

Indahnya memori itu...

Author: Afiq Kamaruddin

Bismillahirrahmanirrahim

Deraian hujan yang turun sejak petang tadi belum menunjukkan tanda-tanda ingin berhenti.Seronok juga bila hujan turun. Sekurang-kurangnya rasa sejuk sikit badan. Lagi seronok kalau dapat merasai keriangan suasana hujan bersama secawan kopi O panas beserta ubi rebus hangat bercicahkan gula, sambil duduk bermalasan di atas singgahsana empuk berintikan baldu, menghayati setiap titis hujan yang gugur menyembah bumi ciptaan Ilahi. Oh,alangkah nikmatnya…Namun itu semua hanya angan-angan, tugasan yang lebih utama perlu disiapkan, tiap masa saat yang berlalu begitu berharga, tidak sewajarnya kita persiakan, bukankah bertangguh itu pencuri masa? Sejauh mana tingginya nilai masa terhadap kita seandainya begitu mudah kita biarkan ianya dicuri? Pepatah arab pernah menyebut, masa ibarat pedang, andai kamu tidak menggunakannya, ia akan memotong kamu.


Terlintas dihati untuk berkongsi perasaan ketika mana saya mengunjungi sebuah tempat yang mula-mula membina batu asas pembentukan diri saya sebagai seorang muslim, tempat dimana saya diberikan pendidikan agama secara formal, tempat dimana saya memperoleh input yang sukar didapati di sekolah-sekolah rendah kebangsaan, tempat dimana ilmu asas hukum serta fardhu ain mula diperkenalkan kepada kanak-kanak,tempat dimana saya memahami huruf-huruf al-quran serta melantunkannya mengikut makhraj,tempat dimana pendidikan rohani dijadikan intipati pembelajaran, sekaligus menerapkan nilai-nilai murni ke dalam pembentukan jati diri seorang kanak-kanak muslim. Sistem pendidikan yang khusus dalam mata pelajaran tauhid, akhlak, fekah, sirah, khat, tajwid, hafazan,bahasa arab, serta imla’ memberikan kami peluang untuk memahami sesuatu konsep asas islam secara terperinci.


Sekolah KAFA Integrasi Masjid Proton – itulah nama tempat yang saya maksudkan. Institusi pengajian agama peringkat rendah, yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Agama Rakyat Masjid Proton. Bangunan yang dibina di atas tapak milik persendirian seorang tokoh agama kini berdaftar dibawah Jabatan Agama Islam Selangor semasa tahun kedua ia beroperasi. Kini sudah hampir 13 tahun penubuhanya.Sebelum ini, ianya hanyalah sebuah kelas harian, dikendalikan pihak masjid dalam memberikan pengajian agama kepada golongan kanak-kanak yang berminat, kini kelas tersebut sudah dinaik taraf statusnya menjadi sebuah sekolah. Selain itu, sistem sukatan pembelajarannya juga sudah diselarikan dibawah sukatan pembelajaran JAIS. Maka lebih tersusun dan mudah.


Terkenang saat semasa mula-mula mendaftarkan diri, kami diwajibkan membeli kitab-kitab karya tokoh-tokoh ulama nusantara. Kitabya tebal, kertasnya menggunakan kertas berwarna perang,diikat dengan tali guni, tulisan dakwat hitamnya pula tidak jelas, serta menggunakan bahasa melayu klasik. Bayangkan seorang kanak-kanak berusia 7 tahun disuruh menjadikan kitab lama itu sebagai rujukan. Terkumat-kamit dibuatnya. Kitab Sirah misalnya. Kitab itu bewarna merah hati, tulisan jawi yang digunakan adalah jenis Khat Riqa’h. Khat yang biasa ditulis dalam persuratan. Amat sukar hendak dibaca, sehingga ke satu tahap kami terpaksa membuka Qiraati semata-mata untuk mengenal pasti huruf yang dijumpai. Mujurlah Ustazah menterjemahkan kami setiap ayat yang tertera, dan kami akan menulis terjemahannya pada setiap muka surat. Masalah seterusnya timbul semasa ingin memahami tejemahan yang ditulis. Maklumlah, penggunaan bahasa Melayu Klasik yang berbelit-belit, serta aturan ayat tokoh ulama nusantara agak mendalam maksudnya. Sukar bagi kami yang masih mentah ini untuk memahami. Teknik yang Ustazah gunakan supaya kami faham adalah dengan teknik penceritaan dan nyanyian. Setiap kali kelas, selepas sessi pertejemahan, ustazah akan mulakan sessi pengajaran dengan bercerita. Kadang-kadang diselitkan unsur nyanyian untuk menghiburkan kami. Alhamdulillah, akhirnya terbukti teknik itu berkesan ke atas kami walaupun sukar pada mulanya. Pada awal penubuhan, hanya ada tiga orang guru sahaja yang bertugas iaitu Ustazah Siti Sarah, Ustazah Roslinda, dan Ustazah Aizan. Kini bilangan guru semakin bertambah, infrastruktuf serta prasarana juga telah dinaik taraf sedikit demi sedikit. Dulu kami belajar didalam sebuah dewan yang berbumbung zink, tetapi tidak berdinding dan tidak berkipas. Lantainya pula lantai siman. Tiada ‘tiles’. Setiap kali hujan, pasti tempias. Kalau hujan lebat, kami akan gegas berlari masuk ke dalam masjid untuk meneruskan sessi pembelajaran seperti biasa. Kalau cuaca panas, akan berdebu dan berpeluh.Dahulu hanya ada dua kelas sahaja, kami batch yang pertama dengan bilangan pelajar kurang daripada 20 orang.


Alhamdulillah, kini segala-galanya sudah berubah. Semakin banyak bangunan sekolah dan kelas dibina bagi menampung jumlah pelajar yang mendaftar. Kooperasi, kantin serta perpustakaan sudah ada. Sebuah bangunan dua tingkat telah dibina. Memuatkan pejabat, bilik guru, bilik komputer, bilik mesyuarat,stor sukan, bilik muzik, serta kelas-kelas pembelajaran. Menurut Ustazah Siti Sarah – ustazah yang mengajarku dahulu, cetusan idea untuk membuat bangunan dua tingkat itu lahir setelah pihak pengurusan sekolah mendengar ucapanku, selaku wakil pelajar semasa majlis penutupan program Qiamullail dan Motivasi. Ketika itu, saya berada dalam darjah enam. Dalam persediaan menghadapi PSRA (Penilaian Sekolah Rendah Agama). Dalam ucapanku itu, setakat yang saya ingat, saya ada selitkan kepentingan aspek pembangunan kondusif dari segi infrastruktur dalam menentukan kejayaan pelajar. Alhamdulillah, segala-galanya adalah ketentuan Allah juga.


Kenangan di sekolah itu teringat kembali semasa saya melawatnya pagi tadi. Kebetulan hari sabtu..Pertalian saya dengan sekolah agama ini sentiasa wujud kerana telah ditakdirkan semua adik-adik saya juga belajar di sekolah agama yang sama. Dua daripadanya sudah tamat persekolahan peringkat rendah. Kini mereka bersekolah di sekolah asrama penuh. Tinggal seorang lagi yang masih berada di darjah lima. Setiap kali musim cuti, saya akan mengambil peluang untuk menziarahi sekolah berkenaan, berjumpa dengan ustaz serta ustazah yang pernah mendidik saya dahulu, bertanya khabar, dan memberi bantuan sedaya yang mampu. Cuma pada musim cuti easter kali ini, saya tidak berkesempatan untuk melawat semasa hari persekolahan kerana ada tugasan lain yang perlu diselesaikan. Insyaallah, doakan semoga saya diberikan kelapangan pada minggu hadapan sebelum kembali ke kolej nanti.

Blok akademik yang baru

Dewan yang dahulunya kelas yang tidak berdinding

Kelas ini dahulu pernah roboh dipukul ribut. Aku hampir dihempap oleh kipas angin yang tiba-tiba jatuh, mujurlah ustazah sempat menyelamatkanku dengan menolakku


Di laluan ini kami selalu bermain-main dan bergurau senda ketika rehat. Pernah dengar main 'peluk tiang'? agak popular permainan itu dulu
.
Masjid PROTON yang kini dalam proses pengubahsuaian dan menaik taraf

Suasana dewan solat yang baru dan luas

Kelas pelajar tahap satu. Dahulunya pernah menjadi stor simpanan meja dan kerusi

Contoh tulisan khat riq'ah. Tulisan khat yang digunakan dalm buku-buku teks rujukan kami semasa awal penubuhan sekolah.

Semoga ilmu yang kita dimiliki, hasil daripada pembelajaran yang dihadiri dengan niat yang murni, mendapat barakah disisi ilahi, untuk membentuk individu muslim sejati, seterusnya ummah yang berpegang kukuh pada konsep islami, bersama kita tegakkan kalimah Allah dimuka bumi, InsyaAllah…

Wallahua'lam

 

0 Response to “Indahnya memori itu...”

Leave a Reply