Bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah
Tinggalkan segala yang meragukan, ambil segala yang diyakini kebenaran...

Seorang anak kecil umpama sehelai kain putih yang suci bersih. Tiada kesan kotoran, walaupun sepalit debu kotor yang berterbangan. Keindahan corakan kain suci itu ditentukan oleh kehalusan seni indah ayahanda serta bonda yang tercinta. Sudah menjadi fitrah, manusia sukakan keindahan, cintakan kecantikan, mendambakan keamanan, menginginkan kesejahteraan. Usaha menghampiri kesempurnaan merupakan satu usaha yang berterusan dan berpanjangan. Tiada istilah 'cukuplah setakat itu' mahupun 'putus asa' dalam diari kehidupan seorang pejuang islam. Begitulah kita diajar oleh baginda junjungan Rasulullah s.a.w untuk sentiasa memperbaiki diri dan meningkatkan tahap keimanan dari semasa ke semasa. Mempertingkatkan diri dengan amalan rohani dan tarbiyah, mempersiapkan diri dengan kekayaan ilmu, memperkuatkan diri dengan kesuburan iman. Agar diri memperoleh kemenangan tatkala berperang dengan godaan daripada bala tentera syaitan laknatullah serta nafsu duniawi. Alangkah indahnya kehidupan andai kemanisan iman dan amal dapat dikongsi bersama. Alangkah indahnya nikmat iman dan islam andai ketenangan dalam mengamalkan suruhan Allah dapat diperlebarkan syiarnya kepada insan yang paling hampir dengan kita-keluarga.

Seorang Ayah merupakan ketua keluarga. Umpama seorang nakhoda yang mengemudi sebuah bahtera yang sarat dengan harta-harta yang berharga demi menuju ke sebuah destinasi. Destinasi yang diimpi-impikan oleh setiap insan yang beriman sepenuhnya dengan tauhid uluhiyah dan rububiyahNya.
Nafsu amarah sentiasa menguasai diri andai perasaan benci dan dendam mula meracuni fikiran. Sang syaitan melompat-lompat kegembiraan seandainya hati manusia mula dikuasai mereka. Keagungan Allah dilupa, nasihat baginda tidak diambil kira, halal haram dicerca, perhitungan akal tidak berdasarkan agama, kepuasan nafsu itu yang dicari. Tutur nasihat insan disekeliling mula dianggap bisu,telingan sengaja ditulikan, tingkah laku mereka untuk meredakan kemarahan yang dirasai dianggap jelek dan sumbang.

"Akulah yang betul!, Akulah yang berkuasa!, Kau Lemah!,Kau Salah!, Kau Hina!, Aku Mulia!." - sifat egois mula menjadi raja.

Nikmat pertuturan kurniaan Allah mula disalah guna. Keindahan,kesopanan, serta kemuliaan gaya bahasa pertuturan tidak lagi menjadi pilihan utama. Caci maki dan kata kesat dihambur kepada seorang insan kerdil yang tidak berdosa. Dia masih muda, masih khilaf dan masih belajar mengenal erti kehidupan. Kecuaian yang dilakukannya bukan secara sengaja, namun ianya merupakan satu ketentuan dariNya.Malah boleh dimaafkan begitu sahaja tanpa perlu berunding di mahkamah majistret,seksyen mahupun mahkamah Diraja. Mengapa dia perlu diperlakukan dan dizalimi sebegitu? Dihina dan dicerca membuta tuli dihadapan khayalak ramai? Dihantam dan dibedil dengan kata-kata kesat yang menyakitkan hati mereka yang mendengarnya.Sungguh tidak adil, sungguh tidak wajar, sungguh ZALIM seorang 'nakhoda' yang sanggup berbuat demikian.
Sang 'Harimau' tidak pernah peduli dengan perasaan kasihan dan simpati tatkala 'meratah' mangsanya. Dengan rakusnya dia terus melahap mangsanya dengan bengis tanpa rasa belas kasihan. Hati mana yang tidak SAKIT,PEDIH,SEDIH,KECEWA,MARAH dengan tindakannya yang melampaui batas itu. Mahu sahaja ditegur namun tidak punyai kekuatan kerana beza usia denganya amatlah besar jurangnya. Mahu sahaja dibuka langkah silat nuntuk membuat perhitungan namun itu bukanlah kaedah yang terbaik bagi meredakan suasana. Diri hanya mampu beristirghfar dan membenci kejadian itu didalam hati. Itulah selemah-lemah iman.

Si anak kecil yang mengharapkan contoh teladan yang baik daripada dua insan yang melahirkannya hanya mempu terdiam ketika melihat senario itu berlaku betul-betul dihadapan matanya. Sambil memeluk erat ibunya yang berada dihadapan kereta, si wajah suci itu kelihatan sayu dan takut. Tidak disangka, begini sifat sebenar ayahnya apabila berhadapan krisis dihadapan ramai. Tidak mampu mengawal fikiran, tidak mampu mengawal emosi dan perasaan.
Deraian air mata bercucuran dipipinya, diselangi dengan ratapan hiba yang bisa menyayat hati mereka yang melihatnya.Diriku memahami perasaan si anak. Sudah tentu dia berasa kecewa dan tertekan dengan tindakan ayahnya yang tercinta dan sudah tentu menjadi idolanya.Kasihan si anak. Apakah rasa hormat bisa timbul pada ayahnya selepas ini? Atau rasa takut pula yang akan menggantikannya? Si ibu hanya mampu berdiam diri dan tertunduk malu. Kelu lidah tanpa bicara, kaku tubuh tidak bergerak apabila melihat tindakan si 'Suami' yang tidak menentu, hilang punca, hilang pegangan, hilang arah tujuan, hilang keWARASan. Maruah diri tercalar, kehormatan keluarga diperlekehkan, peranan sebagai ketua keluarga mula dipersoalkan. Nun di hujung sana, iblis dan syaitan mula melompat-lompat keriangan. Meraikan kejayaan mereka menyesatkan anak adam,menundukkan anak adam dengan kemahuan mereka. Jarum suntikan berjaya disuntik! Umpan sudah mengena! Bertambah gemuk dan sihat mereka dibuatnya..semuanya berpunca daripada nyalaan api yang asalnya kecil, setelah dikipaskan dan dicurah minyak petrol, akhirnya merebak menjadi besar..itulah nyalaan api nafsu AMARAH. Berwaspadalah dengannya..jangan marah,jangan marah, jangan marah.....Kasihan si anak, kasihan si anak, kasihan si anak..kasihan si ibu, kasihan si ibu, kasihan si ibu...

coretan ini saya nukilkan tatkala melihat satu kejadian yang berlaku di sebuah stesen miyak terkemuka tanah air. Seorang lelaki memarahi dan memaki hamun seorang wanita atas kelewatannya mengalihkan kereta. Insiden yang sepatutnya boleh diselesaikan secara tenang tiba-tiba menjadi tegang lantaran sifat lelaki tersebut yang tidak dapat mengawal kemarahannya. Kejadian ini turut disaksikan oleh berpuluh-puluh pelanggan yang lain serta keluarga lelaki terbabit. Kebanyakkannya mereka yang beragama selain islam. Sedih dan kecewa rasanya. Tidak mampu menahan sebak. Bukanlah niat dihati untuk menghina, namun untuk mengambil pengajaran dari kejadian yang menimpa.Bagaimanalah agaknya persepsi dan pandangan mereka yang memerhatikan kejadian itu? Bagaimana pula persepsi anak perempuannya yang masih kecil itu pada ayahnya?..hanya kepadaNya kita berharap semoga dikurniakan yang terbaik buat mereka..ingatlah,perjuangan dakwah ini perlu diteruskan biarpun badai datang bergelora! kawal nafsu marah, ingat Allah selalu, ingat nikmat kurniaanNya..Jangan sandarkan kemarahan pada nafsu amarah dan syaitan.

" …dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia…" (Al-Baqarah: 83).

"Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna." (Al-Mukminun: 3).

Suatu ketika datang seorang laki-laki kepada Nabi saw lalu ia berkata: "Nasihatilah saya". Nabi bersabda: "Jangan marah." Beliau ulangi berkali-kali. (Hadits Riwayat al-Bukhari).

"Mencaci orang Islam itu fasiq (keluar dari ketaatan) dan membunuhnya adalah kufur." (HR. Bukhari, Muslim, Ahmad, Ibnu Majah, An-Nasai

"Awas, jangan kamu mengikut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. Sesungguhnya syaitan itu menyuruh kamu berbuat buruk dan keji (zina), dan supaya kamu mengatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu sendiri tiada mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 168-169).

“Yang sebenarnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan dan benci-membenci di antara kamu dalam hal minuman keras dan bermain judi, dan menghalang kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat, apakah masih kamu tidak mahu berhenti?” (Surah al-Maidah: 91).

Orang yang hina adalah sentiasa mencela orang lain, manakala orang yang mulia adalah sentiasa mencela dirinya dan memperbaiki kesalahanya.

 

0 Response to “Berikan air kepada mereka yang dahaga...”

Leave a Reply