Bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah
Tinggalkan segala yang meragukan, ambil segala yang diyakini kebenaran...

Pantun Silat Cekak Ustaz Hanafi

Author: Afiq Kamaruddin

Bukanlah niat dihati untuk mengagung-agungkan ilmu persilatan Silat Cekak Ustaz Hanafi kerana ilmu persilatan ini semuanya datang daripada Allah yang Maha Kaya Ilmunya. Hatta andai semua jenis lautan dijadikan tinta, kemudian ditambah dengan tujuh jenis lautan yang lain pun tidak cukup bagi menulis ilmu-ilmu Allah didunia ini. Semua jenis ilmu persilatan Melayu merupakan khazanah bangsa yang harus dipelihara. Perjuangan para pejuang kemerdekaan dahulu yang terdiri daripada kalangan alim ulama' seperti (Tok Kenali, Panglima Hitam, Tok Janggut ,dll )menjadikan silat sebagai senjata mempertahankan agama, bangsa, dan negara daripada kalangan penjajah. Seharusnya kita mempelajari ilmu-ilmu persilatan tersebut agar kita mendapat faedah daripadanya sebagaimana generasi-generasi pejuang agama terdahulu. Sudah tentu, asas kepadanya adalah kalimah Tauhid. Allah adalah penentu takdir, usaha yang kita lakukan hanya asbab kepada tadbir. Semoga pantun ini memberikan kesan kepada para pembaca sekalian.

Pantun Silat Cekak ini telah dicipta oleh YM AlMarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad dengan bertujuan untuk memberi gambaran kepada penuntut-penuntut Silat Cekak bahawa Silat Cekak lebih menekankan kepada pendidikan rohani dan jasmani yang tidak terkeluar dari landasan Islam.
Lahirnya Cekak kerana kesedaran
bukan bermusuh sebagai tujuan
untuk mendaulatkan seni kebangsaan
mensesuaikan dengan makna kemerdekaan

Silat Cekak benar-benar asli
tidak bercampur hak luar negeri
hendaklah belajar bersungguh hati
untuk menjaga diri sendiri

Silat Cekak tersangatlah mudah
bagi mereka yang mendapat hidayah
sungguhpun begitu hendaklah tabah
InsyaAllah mendapat faedah

Silat Cekak pada lahirnya
pengertian gerak pada batinnya
hendaklah mahir seluruh anggota
hendaklah jujur pada jiwanya

Taat ke guru membawa berkat
sedikit belajar banyak yang dapat
jika menderhaka menjadi mudarat
semua ilmu tiada yang lekat

Sebenar guru ada hakikat
dikuat pula amalan syariat
ditambah pula ilmu makrifat
berpakaian pula dengan isyarat

Dua ibu bapa tak boleh derhaka
besar jasanya kepada kita
kalau menderhaka bahaya menimpa
di akhirat kita masuk neraka

Wajiblah menjaga diri sendiri
menerima amanah Tuhan Rabbi
supaya menjadi mukmin sejati
demi menegak Islam yang suci.

 

0 Response to “Pantun Silat Cekak Ustaz Hanafi”

Leave a Reply