Tahniah adik2!!!
Author: Afiq Kamaruddin
Alhamdulillah, baru-baru ini keputusan SPM, STPM, dan STAM telahpun diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Menurut laporan, terdapatnya peningkatan dalam jumlah pelajar yang lulus dan mendapat A dalam subjek-subjek yang diambil. Secara tidak langsung, peningkatan ini merujuk kepada pertambahan kualiti pelajar itu sendiri yang semakin meningkat maju tatu bahasa mudahnya semakin 'pandai' saban tahun. Seorang pelajar dari SMKA Yan telah mencipta sejarah yang tersendiri dengan memperoleh 20A1 dan 1A2 dalam SPM. Sekaligus memadamkan rekod 17A1 yang dipegang sejak sekian lama oleh adik Amalina kita. Saya melihat ini sebagai satu anjakan positif yang ditunjukkan oleh generasi-generasi muda zaman sekarang. Secara amnya, keputusan peperiksaan dijadikan kayu pengukur atau tanda aras kejayaan seseorang individu. Namun, jangan kita lupa bahawa kejayaan seseorang juga diukur berdasarkan sejauh mana kita mengamalkan ilmu yang dimiliki. Sekaligus membawa kepada pembentukan jati diri serta sahsiah yang tinggi kerana ilmu adalah cahaya yang menerangi kegelapan. Tanpa ilmu, hidup kita akan sentiasa gelap. Sukar untuk membuat pilihan yang terbaik.
Bukankah Imam Ghazali Hujjatul Islam pernah berpesan :
"Barang siapa yang tidak menjaga dirinya, maka tidak bergunalah ilmunya......"
Dirinya merujuk kepada diri individu itu sendiri. Adakah setelah berilmu kita makin dekat dengan Allah atau sebaliknya? Andai kata sebaliknya yang berlaku maka sesungguhnya ilmu yang dimiliki adalah sia2 dan kurang berguna sebagaimana yang telah dikatakan oleh Imam Ghazali. Menyebut tentang ilmu, kita harus yakin bahawa semua ilmu yang ada datangnya daripada Allah. Lantaran itu kita harus bersyukur andai dikurniakan sesuatu ilmu dan jangan sekali berasa bongkak atau ujub dengan ilmu yang diberikan. Berdoalah moga-moga ilmu kita diberkati dan tidak menjadi suatu Istidraj yang diturunkan oleh Allah.
"Dan seandainya pohon-pohon dibumi menjadi pena dan lautan menjadi tinta, lalu ditambahkan kepadanya tujuh lautan lagi setelah keringnya, nescaya tidak akan habis-habis dituliskan kalimah-kalimah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.." Surah Luqman : 27
Mengapa pentingnya ilmu yang bermanfaat? kerana ianya bakal menjadi bekal kita di alam barzakh kelak. Alam dimana kita tidak punya siapa untuk bergantung harap melainkan 3 perkara yakni sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, serta doa daripada anak2 yang soleh. Dikala itu, harta benda, kaum kerabat, darjat, serta gelaran sudah tidak dipedulikan lagi kerana ianya tidak mampu untuk membantu kita menjawab pertanyaan Munkar dan Nakir yang menggerunkan.
Ayuh rakan-rakanku, mari bersama kita bulatkan tekad dan tetapkan niat menuntut ilmu semata2 ingin mendapatkan keredhaan Allah. Semoga ilmu yang diperoleh mendapat barakah dan berguna pada masa hadapan. Bila memikirkan realiti umat di zaman sekarang, sudah tentu cabaran dalam perjuangan menyebarkan syiar islam pada masa hadapan akan menjadi lebih sukar. Justeru, persiapkanlah diri dengan ilmu dan amal agar kedaulatan Islam terus dipelihara. Insyaallah!
Tahniah diucapkan kepada calon2 SPM,STAM,dan STPM yang telah berjaya mendapat keputusan yang baik yang dihajatkan. Sesungguhnya keputusan yang anda terima adalah yang terbaik buat anda. Semoga keputusan ini menjadi pemangkin untuk diri anda terus berjaya pada masa hadapan. Ingatlah, perjuangan itu memang pahit kerana syurga itu manis. Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar, bukan jua sedikit jerih yang ditagih..