Bila merasa hempedu, jangan dilupakan kemanisan gula yang lalu
Author: Afiq Kamaruddin
Bismillahirrahmanirrahim
Menjelang musim exam, agak sukar untuk menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang lain selain daripada exam. Lebih-lebih lagi apabila berada di semester terakhir pengajianku di KYUEM. Kekangan masa untuk mengulang kaji pelajaran, signal internet yang lemah dan sering fluctuate di chalate p07 Kampung Topaz, ditambah dengan had kemampuan akal saya yang perlu menumpukan perhatian pada satu perkara pada satu masa bagi mendapatkan keputusan yang terbaik, merupakan cabaran yang terpaksa dihadapi. Namun, walau apa jua yang kita lakukan, biarlah secara beristiqamah, sungguhpun nilainya sedikit di sisi manusia. Namun di sisi Allah, perbuatan yang dilakukan secara istiqamah amat tinggi darjatnya sungguhpun kecil, apatah lagi kalau perkara yang besar. Begitu Maha pemurahnya Allah kepada hambaNya.Sungguh sayang Allah pada kita kan.Mudah kan nak dapat pahala? Hanya perlu beristiqamah sahaja. Tetapi sungguh susah untuk beristiqamah kerana adanya nafsu dalam diri yang sering bertindak berlawanan dengan apa yang kita inginkan. Tambahan pula, iman kita ini sentiasa bertambah dan berkurang – al yazid wa yanqus. Kalau dalam bahasa physics disebut fluctuate. Cuma kadang-kadang kita sering terlupa akan hakikat ini dek kerana terlalu asyik mengejar sesuatu yang jauh, sehingga yang dekat dilupakan. Umpama mengejar bayang-bayang, dilihat ada, tetapi bila ditangkap ianya hilang. Haruskah kita mencari apa yang tidak pasti?
Petang tadi, saya tertarik dengan tazkirah asar yang disampaikan oleh mantan Setiausaha MUSCOM 07/08, saudara Mua’dz. Beliau menceritakan perihal mensyukuri nikmat Allah. Menurut Mua’dz, selaku seorang muslim yang mukmin, kita sentiasa perlu bersyukur kepada Allah dengan sesungguh-sungguhnya. Antara sedar atau tidak, begitu banyak sekali nikmat yang Allah telah berikan. Cuba kita kenang-kenang kembali kisah-kisah silam. Bermula sejak hari kita dilahirkan kedunia ini. Hidup ini juga adalah satu nikmat Contoh nikmat terbesar yang diungkapkan oleh Mua’dz adalah nikmat solat secara berjemaah di surau. Bukan semua orang dikurniakan nikmat ‘kekuatan’ ini kerana kebiasaannya jumlah bilangan jemaah yang hadir ke surau bagi solat fardhu tidak menyamai jumlah sebenar populasi golongan Muslim di KYUEM . Justeru, bersyukurlah bagi mereka yang digerakkan hatinya oleh Allah untuk berjemaah di surau. Bagi yang tidak berkesempatan tetapi punyai kesedaran, berdoalah dan berusahalah untuk melawan nafsu bisikan syaitan, Insyaallah yakinlah bahawa Allah pasti akan memberi hidayah kepada mereka yang mencari.
Menurut Mua’dz lagi, adakalanya Allah akan menarik nikmat yang dikurniakan kepada kita. Di sini saya ingin mengulas bahawa Allah boleh menarik sesuatu nikmat berdasarkan beberapa perkara. Antaranya kerana ingin memberi balasan, atau merendahkan martabat seseorang seperti yang berlaku kepada Firaun, Qarun, Hamman dan mereka yang mengingkari Allah. Allah juga boleh menarik sesuatu nikmat daripada kita kerana ingin menguji sejauh mana tahap keimanan yang ada dalam diri kita.Sejauh mana kita yakin terhadap ketentuan Allah. Sejauh mana kita bergantung harap kepada Allah. Sebagai contoh, ujian yang Allah timpakan kepada nabi Ayub, para rasul terdahulu, para sahabat, serta orang-orang yang beriman. Maka, bolehlah kita perhalusi bahawa setiap nikmat yang dikurniakan Allah sebenarnya merupakan satu ujian. Seandainya kita lulus dalam ujian itu, maka nikmat yang Allah kurniakan itu merupakan sebuah hadiah atau ganjaran yang tidak ternilai. Seandainya kita gagal, maka sesungguhnya nikmat itu bakal membawa kita ke kancah kehancuran.
Dalam kehidupan, kita tidak pernah lari dari ujian. Gagal dalam peperiksaan, gagal untuk mendapat sesuatu yang dihajatkan, gagal mencari jodoh, tekanan perasaan serta emosi, masalah hati serta kemiskinan harta, semuanya merupakan antara bentuk-bentuk nikmat yang Allah berikan kepada kita. Nikmat yang datang dalam bentuk ujian. Seandainya kita berada dalam senario tersebut, sentiasa ingat terhadap jutaan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita dahulu. Sudah pasti jauh lebih banyak daripada apa yang pernah terlintas difikiran. Adakah kita perlu berasa tertekan, putus asa, atau terus putus harapan kepada Allah kerana tidak mendapat sesuatu yang dihajatkan, sedangkan pada hakikatnya nikmat yang telahpun Allah berikan kepada kita tersangatlah banyak.Maka, disini perlunya hadir konsep mensyukuri nikmat yang diberi samada baik mahupun buruk kerana ianya adalah ketentuan Allah juga. Berasa cukup dengan apa yang ada serta menghargai setiap nikmat kurniaan Allah dengan mengikuti suruhannya, serta menjauhi larangannya. Nikmat yang Allah beri boleh mencetus kesedaran untuk kita lebih bersungguh-sungguh dan tekun bagi menjadi seorang muslim mukmin yang professional. Tabah dan sabar antara elemen penting dalam konsep syukur. Kesemuanya bergerak seiring. Insyaallah, selangkah kita rapat kepadaNya, seribu langkah Allah akan rapat kepada kita.
Wallahua’lam