Tinggalkan segala yang meragukan, ambil segala yang diyakini kebenaran...
Nilai seorang teman...
Author: Afiq Kamaruddin
Bismillahirrahmanirrahim
Sifat manusia ingin menyayangi serta disayangi. Itulah naluri fitrah yang dikurniakan Allah. Sudah menjadi lumrah, sesuatu yang fitrah boleh bertukar menjadi fitnah andai tiada pengawasan dan penjagaan yang sempurna berdasarkan apa yang dilandaskan oleh Pencipta segala fitrah. Andai fitrah menjadi fitnah, maka secara tidak langsung perbuatan itu sudah tidak lagi menjadi suatu ibadah lantaran Tuhan tidak lagi dijadikan matlamat utama.
Fitrah yang ingin saya highlightkan disini adalah fitrah 'Persahabatan'. Sahabat/rakan/kenalan/taulan adalah terma gantian yang ditujukan untuk seseorang yang rapat dengan kita. Dengan erti kata lain, susah senang diharungi bersama, tawa sendu dirasai bersama, teman penghibur di kala duka, teman penyuntik semangat di kala derita, serta pelbagai lagi situasi yang menggambarkan kepentingan sesorang sahabat.
Bagaimana konsep fitrah 'persahabatan' ini boleh bertukar menjadi fitnah? Apabila seseorang itu terlalu mengagung-agungkan sahabat yang disukainya sehingga tidak ternampak langsung sebarang kelemahan untuk diperbaiki pada saudaranya itu, apabila pemergiannya diratapi seolah-olah tidak dapat menerima takdir yang memisahkan mereka berdua, apabila diri sanggup berjanji untuk sehidup dan semati walaupun terpaksa mengorbankan tanggungjawab yang menjadi kepentingan sedangkan tiada siapa tahu bila dirinya akan mati, apabila diri sanggup membenarkan segala yang diungkapkan oleh sahabat kesayangannya sungguhpun apa yang dikatakan tidak benar semata-mata ingin menjaga hati dan perasaan..kononnya menjaga persahabatan..apabila diri mempergunakan sahabat untuk kepentingan peribadi, seolah-olah sebagai alat permainan yang rendah harga diri..serta bermacam-macam lagi.
Nilai persahabatan tidak terletak semata-mata kepada kedudukan material,pangkat, darjat, mahupun kata-kata indah 'retorik' seperti "aku sayang kamu sahabat.." , " aku cintakan kamu kerana Allah sahabat..". Tetapi ianya lebih daripada itu. Ianya lebih kepada pelaksanaan. Bagaimana kita ingin mengaplikasikan konsep Hablum Min Allah dalam sebuah persahabatan.Yakni tindak-tanduk dan pekerti kita seiring dengan perasaan kasih kepada Allah dalam menghargai insan yang bergelar sahabat. Memang mudah untuk melafazkan 'kasih', 'sayang', dan 'cinta'. Namun adakah kita benar-benar menghadirkan rasa kasihNya dalam setiap amal perbuatan kita. Sedarlah bahawa perkataan-perkataan 'keramat' itu bukanlah sebuah permainan yang begitu murah untuk dilontarkan, tetapi ianya adalah sebuah janji yang perlu ditunaikan.
Besederhanalah dalam persahabatan. Jangan terlampau 'extreme' dan 'excessive' sehingga wujudnya perasaan ingin mengagung atau memuja. Ukhuwah fillah dalam islam bukan seperti yang digambarkan oleh Jack dalam filem Titanic. 'You jump, I jump..' ataupun dalam kisah Romeo & Juliet. Sanggup membunuh diri semata-mata kerana ingin bersama orang yang tersayang. Itu bukannya sahabat. Itu kerja gila namanya! Janganlah semata-mata kerana seseorang, prinsip kita menjadi larut dan cair. Hayatilah sirah baginda junjungan. Lihatlah bagaimana kaum ansar dan muhajirin bersaudara. Konsep persahabatan sebegitu yang perlu diterapkan.
Persahabatan dalam islam semata-mata ingin mengharapkan rahmat Allah. Mereka saling menyayangi dan mendoakan kesejahteraan antara satu sama lain kerana rahmat Allah. Mereka membantu dan menasihati antara satu sama lain kerana rahmat Allah. Mereka bertemu dan berpisah kerana rahmat Allah.Biarpun jarak memisahkan mereka, namun tiada noktah kasih. Bak kata Ustaz Pahrol, 'bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah..' Mereka redha di atas segala ketentuan, saat gembira dan duka dikongsi bersama. Seorang yang bersahabat semata-mata kerana ingin mendapatkan keredhaan Allah akan merasa ketenangan dan kemanisan dalam dirinya ketika beribadah. Ini bersesuaian dengan sabda baginda yang mafhumnya berbunyi :
"3 cara untuk merasai kemanisan iman dalam beramal, menyayangi Allah dan rasulnya melebihi segala-gala yang dimilikinya, menyintai saudaranya semata-mata kerana Allah, membenci kepada kemunkaran seolah-olah ingin mencampakkannya ke dalam api neraka"
(riwayat Bukhari)
"mukmin trhadap mukmin yang lain ibarat batu bata binaan yang saling memperkukuhkan antara satu sama lain" (riwayat bukhari)
"tidak ada suatupun yang paling berharga yang dimiliki oleh seseorang insan selepas nikmat Islam,selain teman-teman yang soleh..apabila kamu dapati kewujudan kasih-sayangnya..maka peganglah ia dengan sungguh-sungguh" Saidina Umar r.a
"Kasihilah sesuatu yang kau kasihi dengan seadanya, kerana suatu masa mungkin kau akan membencinya pula..Bencilah sesuatu yang kau musuhi dengan seadanya, kerana suatu masa mungkin engkau akan mencintainya pula.." - dipetik dari kitab Al-Adab Al-Mufrad Imam Bukhari.
Ukhuwah fillah akan tetap kekal selamanya sungguhpun kita dipisahkan oleh dua benua yang berbeza, kerana nilai persahabatan tidak terletak pada apa yang dilihat disisi, tetapi terletak pada apa yang tertanam di hati...biarlah waktu menentukan nilai ukhuwah yang terjalin...
p/s : teman yang sejati ialah Al-quran sebab bila kita mati nanti, dia dapat tolong kita. Tapi jika kita bertemankan manusia semata-mata, kelak tidak dapat apa-apa pun..