Tinggalkan segala yang meragukan, ambil segala yang diyakini kebenaran...
Aduhai pendakwah...
Author: Afiq Kamaruddin
Bertindaklah dengan penuh rasional dan berhikmah, jangan terlalu mengikut emosi...
Itulah pesanan ibu sejak kecil yang masih saya pegang sehingga sekarang. Pesanan yang kurasakan cukup berharga bagiku. Kenapa? Kerana diri yang dikuasai emosi, mudah dirasuki syaitan. Di saat emosi menguasai rasional, tindakan yang dilakukan adalah untuk kepuasan peribadi, kemenangan mutlak yang dicari, halal haram tidak dipeduli, tutur kata pekerti tidak lagi dijaga, matlamat yang dituju - aku ingin menang! walaupun diri tidak bersedia dengan kelengkapan yang sewajarnya.. janganlah menegakkan benang yang basah seandainya kita tahu ianya tidak boleh ditegakkan lagi. Jangan mengejar kepuasan diri andai prinsip terpaksa dinodai!.
Seperti yang saya postkan sebelum ini, masyarakat 'Melayu' Malaysia umumnya suka ber'cerita'. Lihat sahaja kisah2 penglipur lara mahupun kisah2 lagenda yang disampaikan sejak turun temurun dahulu. Sehingga sekarang tidak pasti sejauh mana kesahihannya lantaran terlalu banyak cerita yang 'ditokok-tambah'..entah betul atau tidak, wallahua'lam. Para 'penglipur lara' ini sentiasa wujud dari setiap generasi ke generasi yang lain. Apa yang ditakutkan, andai para 'penglipur lara' ini turut ada dikalangan pendakwah. Apa kesannya? Sudah tentu banyak..malah lebih menakutkan lagi, mungkin boleh menempangkan usaha dakwah di sesebuah komuniti. Kenapa? kerana wujudnya elemen 'penambahan' yang berasakan emosi dan pemikiran akal yang cetek dalam pemikiran mereka. Tidak diselidiki kebenarannya melainkan terus mengatakan apa yang terlintas dihati ketika itu. Maka sesuatu mesej yang pada asalnya suci murni, dikotori dengan 'elemen2 tambahan' yang berasaskan emosi dan bersandarkan dalil yang diijtihad oleh mereka sendiri. Bukannya dari kalangan ijtihad para ulama muktabar. Untuk memuaskan nafsu yang membara-bara didalam diri lantaran ketidak puas hatian terhadap sesuatu perkara, pendekatan yang keras diambil. Tidak salah bertindak dengan keras, namun perlulah berhikmah..perlulah melihat waqi' setempat. Seandainya kita mahu berdakwah kepada golongan kaki disko, adakah kita perlu pergi ke disko, menyampaikan pidato ditengah2 lantai disko, bercakap dengan suara yang keras, lantang dan kata-kata kesat mengatakan tindakan mereka haram, berdosa, masuk neraka dan sebagainya..adakah itu dikatakan berhikmah dalam berdakwah? Atau sekadar ingin mencari publisiti murahan? Dengan harapan orang akan lembut hatinya dengan kata-kata keras kita yang tidak sopan dan berintelektual? Makin jauh orang pada kita, makin sukar untuk mereka menerima kita..kesannya? Pincanglah usaha dakwah..kemudian para pendai'e mula menyalahkan maudu'. Dengan alasan mereka kurang ilmu dan sebagainya..dengan alasan hidayah belum sampai kepada mereka..Sedangkan puncanya berasal daripada kita sendiri. Gagal menyampaikan ilmu dengan baik lantaran tewas pada pujukan emosi.
Mari kita renung kembali sirah nabawiyah. Baginda menyampaikan dakwah dengan penuh lemah lembut dan berhikmah. Berhikmah? Macam mana itu? Berhikmah dengan erti kata bersesuaian dengan golongan yang didakwahkan. Adakalanya keras, adakalanya lembut. Dalam kekerasan penuh sopan dan tegas. Tutur kata dan akhlak baginda baik..malah kerana penggunaan bahasa yang baik serta pekerti mulia membuatkan orang tertarik pada ajaran yang dibawa. Tidak pernah sekalipun mengeluarkan kata-kata yang kesat..semuanya kata-kata yang meruntun hati dan bermanfaat. Diserikan lagi dengan peribadi mulia. Apabila ditimpa musibah, baginda berdoa dengan harapan Allah mengurniakan hidayah. Baginda tidak berdendam dengan penduduk taif sungguhpun para malaikat ingin menimpakan bukit diatas sikap kurang ajar mereka kepada baginda. Tetapi sekarang macam mana? Secara peribadi saya melihat segelintir 'pendakwah' yang sanggup mengeluarkan kata2 kesat ke atas saudara seislam kita sendiri kerana kekhilafan yang si 'dia' dilakukan sedangkan dirinya boleh dididik dengan lembut. Caci maki dihamburkan secara terus, tapi yang paling teruk kalau maki secara terbuka. Semua orang awam tahu..dan merujuk kepada mangsa. Bagaimana sekiranya apa yang kita bawakan itu salah? Itu dah kira memfitnah! Tambah satu dosa lagi selain dosa mengumpat. Ya Allah, mulia sangatkah kita ini? Adakah kita ini sudah dijamin untuk masuk syurga? Adakah islam itu sekadar barang kosmetik semata2? Adakah kita mempergunakan islam untuk menutup 'warna' diri kita yang sebenar. Sungguh mudah untuk berkata-kata, namun sungguh sukar untuk melakukan apa yang dikata. Lidah itu lembut tidak bertulang..kadang-kala terbelit kadang kala tersasul..setiap tindakan yang diambil bakal menjadi saksi kita disaat perhitungan.
Kepada diri saya serta para pendakwah sekalian, lakukanlah setiap apa yang kita katakan. Sangat besar kemurkaan Allah terhadap perkara yang kita katakan tetapi kita tidak kerjakan. Berhikmahlah dalam setiap urusan dakwahmu. Jangan meletakkan emosi jauh melebihi akal dalam setiap amal tindakanmu. Berpeganglah pada dalil dan nas yang benar, yang diijtihadkan oleh para ulama muktabar seandainya kita bukan golongan mujtahid dan 'ahli' dalam penetapan hukum. Perjalanan dakwah itu tidak pernah mudah dan sentiasa berterusan. Berlaku adil dan benarlah dalam segala perbuatan. Pastikan sumber yang didapati benar2 sahih dan tepat. Jangan menipu! jangan mengejar publisiti murahan!. Bermunjatlah kepadaNya semoga dikurniakan pilihan yang baik dan tindakan yang berhikmah. Jangan kerana tindakan kita pada hari ini dek kerana berpandukan emosi semata-mata bakal merosakkan usaha dakwah generasi pada masa akan datang. Kelak kita akan dipertanggungjawabkan atas kekhilafan yang dilakukan..saat itu, tangisan air mata darah sudah tidak berguna lagi...
"wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu tidak lakukan apa yang kamu kerjakan?"
"Itu sangatlah dibenci Allah jika kamu tidak mengatakan apa yang dikerjakan.."
"Sesungguhnya Allah sangat mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti satu bangunan yang tersusun kukuh.."
sekadar coretan dikala sunyi..
Wallahua'lam.