Usah alpa harapannya
Author: Afiq Kamaruddin
Bismillahirrahmanirrahim
Saat saya menulis post ini, kedua ibu dan ayahku sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar adik di STAR Ipoh dan kemudian terus menghantar diriku kembali ke dunia yang 'merampas' sebahagian hidupku daripada mereka, KYUEM. Ayah sudah pastinya sangat letih memandangkan ayah baru sahaja tiba dari South Africa pagi tadi atas urusan kerja. Manakala ibu pula sejak kebelakangan ini kurang sihat. Mungkin kerana demam rindu ibu pada suaminya yang tercinta masih belum sembuh lagi. Mujurlah sewaktu pergi, saya menggantikan tugasan ayah untuk memandu. Alhamdulillah, dapat juga ayah tidur dan berehat di belakang. Maklumlah, sejak bertukar kerja, ayah kini kerap outstation ke luar negara. Thailand, Turkey, Oman, UK, Australia,Dubai, Italy, German, semua habis dijelajahnya. Semata-mata kerana ingin mencari sesuap rezeki bagi menyara kehidupan kami sekeluarga. Riak wajah kepenatan jelas terpancar di wajah ayah pagi tadi setibanya dari KLIA, dan ibu tidak pernah sekalipun mengeluh, malah sentiasa menyokong ayah. Ya Allah, kasihanilah kedua ibu bapaku, sebagaimana mereka mengasihaniku ketika kecil.
Diriku sering dilabelkan PBSM (Pelajar Balik Setiap Minggu) oleh rakan-rakan, konon-kononya digelar 'anak manja'. Jarak rumah yang agak dekat dari kolej menjadi kelebihan. Namun biarlah apa orang nak kata kerana lidah manusia lembut tidak bertulang. Itu hak mereka. Biarlah 'anak manja' ini pulang (walaupun tidaklah setiap minggu, bergantung kepada keadaan) untuk membantu dan menceriakan hati keluarganya di rumah. Jika dibandingkan dengan pengorbanan mereka, tidak terbalas jasanya. Jika dahulu, diriku jarang pulang ke rumah bertemu keluarga kerana bersekolah di Ipoh, Perak.Hanya pangilan telefon mejadi pengubat rindu. Benar, ianya mengajarku berdikari. Namun apalah ertinya berdikari andai pengorbanan ibu dan ayah tidakku hargai.Seandai kesihatan dan penat lelah mereka tidakku sedari. Semua adik beradikku kini berada di asrama, seorang di Perak manakala seorang lagi nun jauh di Johor. Yang tinggal di rumah hanya adik perempuanku yang masih kecil.Hati ibu dan ayah mana yang tidak sedih jika terpaksa berpisah dengan anak-anak mereka untuk jangka masa yang panjang, lebih-lebih lagi jika terpaksa dipisahkan oleh dua benua. Namun jelas di wajah mereka terpancar seribu harapan dan doa..mereka merelakan pemergian anak-anaknya berjuang menuntut keredhaan Allah, menyembunyikan kesedihan dibalik penderitaan yang ditanggung. Semata-mata kerana ingin melihat anak-anak mereka menjadi insan yang berjaya kelak. Kasih mereka tidak bersyarat. Sepenuh cinta dan kasih sayang dicurahkan tanpa sebarang syarat! Sungguh murni hati insan yang melahirkan dan membesarkan kita.
Lagu Kasih Tak Bersyarat nyanyian Ustaz Azahari Nowseeheart benar-benar meruntun jiwaku semasa mendengarnya pagi tadi. Selain melodinya yang indah, bait liriknya begitu berhikmah. Kisah penceritaan yang digunakan sangat merujuk kepada anak-anak yang terpaksa berjauhan daripada keluarga..benarlah, nilai kekeluargaan itu lebih berharga daripada harta benda, pangkat, darjat dan segala-galanya. Kebahagiaan sesebuah keluarga melahirkan rasa rindu dan syukur pada Allah. Keluarga yang bahagia merupakan wadah melahirkan peribadi mukmin sejati. Keluarga yang bahagia melahirkan insan soleh solehah. Keluarga yang bahagi menjadi perisai daripada hasutan nafsu duniawi. Tiada makna pada kekayaan harta yang dimiliki, andai diri miskin dengan kebahagiaan keluarga.
p/s : Kepada pelajar KYUEM yang berhajat mendapatkan lagu baru 'Kasih Tak bersyarat' nyanyian Ustaz Azahari Nowseeheart, serta 9 lagu baru yang lain. (antaranya 'Bidadari' - Munif Ahmad, 'Satu Bintang'- Hadad Alwi, Pelita Hidup 5 dll) boleh dapatkannya terus daripada saya atau agen2 yang terdekat.
Wallahua'lam.
salam..
erm..saye nak mp3 Bidadari by Munif Ahmad bleh x?