Bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah
Tinggalkan segala yang meragukan, ambil segala yang diyakini kebenaran...

Subuh yang sepi...

Author: Afiq Kamaruddin

Bismillahirrahmanirrahim



Pagi ini cuaca agak sejuk sikit berbanding semalam. Kalau diikutkan, begitu nikmat rasanya tidur dalam suasana sejuk, ditambah lagi dengan kesuaman selimut tebal, bertemankan suasana chalate yang sunyi sepi dan gelap gelita tanpa cahaya. Namun, besar lagi nikmat seandainya kita bangun untuk solat subuh, malah dilipat gandakan lagi nikmat seandainya kita solat subuh secara berjemaah di rumah Allah. Alhamdulillah, beruntunglah bagi mereka yang dijemput diri dan jiwa mereka berjemaah di rumah Allah.

Suasana subuh di KYUEM sentiasa sunyi dan sepi. Yang kedengaran hanya bunyi unggas sahaja. Mungkin mereka sedang berzikir dan bertasbih memuji Allah. Setahu saya, semua hidupan di dunia ini sentiasa bertasbih dan berzikir mengingati Allah melalui 'kaedah' mereka sendiri. Hembusan angin, deraian ombak, kicauan burung, gunung ganang, tumbuh-tumbuhan, cakerawala serta hidupan liar semuanya berzikir memuji Allah. Itu hidupan yang dikurniakan naluri, tetapi tidak dikurniakan akal. Bagaimana pula dengan kita yang dikurniakan akal untuk membezakan baik dan buruk? Seandainya semua hidupan sentiasa berzikir memuji Allah tetapi kita jarang sekali berbuat demikian, dimanakah kedudukan kita selaku 'sebaik-baik kejadian'? Tepuk dada, tanya iman.

Jumlah jemaah yang hadir seperti biasa, hanya satu saf sahaja jika hendak dibandingkan dengan suasana ketika bulan puasa. Mungkin kerana alang-alang bangun sahur, singgah sebentar ke surau. Kalau tiada sahur macam mana? Persoalan itu ditujukan kepada diri kita sendiri.

Kuliah subuh pada hari ini membicarakan perihal mati. Menurut muzakkir, terdapat 3 situasi jiwa ketika menghadapi saat sakaratul maut :

  1. Jiwa berasa takut dan tidak bersedia untuk menghadapi mati kerana diri sering bergelumang dengan dosa dan maksiat. Seperti mana yang terjadi ke atas golongan-golongan yang berpaling dari jalan Allah.
  1. Jiwa yang tenang dan sentiasa mengalu-alukan kematian. Sudah bersedia menghadapi maut. Baik dari segi fizikal mahupun rohani. Seperti kisah para wali Allah.
  1. Jiwa yang sentiasa melakukan amal soleh tetapi berasa sedih dan takut untuk menghadapi maut kerana dikhuatiri amal soleh yang dilakukan tidak banyak dan mampu memberatkan neraca amalan. Seperti kisah para sahabat.
Sudah tentu ramai diantara kita inginkan kehidupan kita berakhir dengan cara yang baik bukan? Kisah-kisah wali Allah serta para sahabat banyak mengajar kita. Mati dalam keadaan tersenyum, jernih wajahnya, jernih air mukanya. Namun itu semua adalah ketentuan Allah juga. Kita tidak boleh menghukum seseorang hanya berdasarkan apa yang dilihat secara zahiriah. Allah itu maha penghukum kerana Allah tahu apa yang zahir, dan apa yang tersembunyi di dalam hati.
Muzakkir juga ada menyelit tentang kelebihan bangun awal, khususnya sebelum subuh. Disamping kita dapat melakukan solat sunat, tahajud,hajat, etc..pada masa itu juga merupakan masa yang mustajab untuk penyerapan ilmu. Kondisi otak kita berada dalam keadaan yang segar. Waktu yang sesuai untuk belajar.


Insyaallah, hari ini paper 5 Chemistry. Belum pernah buat lagi dalam kelas. Ini kali pertama saya mendudukinya secara formal. Insyaallah, semoga segalanya berjalan lancar. Berusahalah kepada semua rakan seperjuangan!! Mari kita dapatkan keputusan yang terbaik...

Wallahua'lam

 

0 Response to “Subuh yang sepi...”

Leave a Reply