Bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah
Tinggalkan segala yang meragukan, ambil segala yang diyakini kebenaran...

Ucapan Terakhir Presiden

Author: Afiq Kamaruddin


Bismillahirramanirrahim

Setinggi kesyukuran saya panjatkan kepada ilahi kerana ditakdirkan untuk menjadi sebahagian daripada ahli mahjlis tertinggi Muscom. Kemahiran pengurusan teknikal dan pentadbiran adalah sebahagian daripada manfaat yang saya garap, namun nilai menghargai erti sebuah kehidupan itulah yang paling utama. Kita hidup dengan memberi sesuatu yang bermanfaat untuk membina sebuah kehidupan yang bahagia. Dengan erti kata lain, menghargai setiap masa dan peluang yang diberikan, menghargai kehadiran sahabat-sahabat yang tersayang di dalam diri, serta mensyukuri nikmat dan melunaskan tanggungjawab yang Allah berikan kepada khalifahNya di muka bumi. Peluang menjadi muscom hanya sekali sahaja, justeru peluang itu harus digunakan sebaik-baiknya untuk meningkatkan jati diri menjadi seorang mukmin yang sejati. Begitu juga halnya dalam kehidupan yang dikurniakan kepada kita hanya sekali seumur hidup. Perlu dimanfaatkan secara optimum.

Muscom juga turut membuka minda saya dalam lebih memahami konsep Islam. Disinilah saya mula menyedari kepentingan berdakwah. Seandainya disekolah dahulu, hanya teori yang saya terima, tetapi disini saya didedahkan dengan budaya kehidupan yang sebenar. Sekaligus memaksa saya untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari agar tidak mudah larut dalam kehidupan duniawi. Muscom turut menyediakan platform untuk menjadikan kita seorang dai’e yang versatile. Benarlah, sungguhpun kolej ini diselubungi kegelapan, namun pasti ada sinar cahaya yang tersembunyi. Sinar cahaya yang mampu memberikan kecerahan di sekelilingnya. muscom umpama cahaya, dan berperanan untuk menyebarkan sinar cahaya itu agar kebaikan dapat dikongsi bersama.

Bahtera pelayaran muscom tidak pernah sepi tanpa badai dan gelora. Acap kali kita diuji bersama. Segala cabaran, samada luaran atau dalaman sentiasa menghentam setiap masa. Tangisan kekecewaan, sifat ingin merajuk, tekanan perasaan sudah tentu tidak dapat dipisahkan tatkala berhadapan dengan situasi sedemikian. Berdasarkan petunjuk dariNya, semua masalah dapat kita selesaikan bersama. Syura menjadi prinsip utama dalam membuat keputusan. Kita tidak mudah melatah, tetapi sentiasa merujuk dan berbincang dengan ustaz dan ustazah dalam mencari cara penyelesaian yang terbaik. Begitu indahnya perhubungan dalam muscom. Namun, lidah lembut tidak bertulang. Kadang-kadang tergigit juga akhirnya. Antara kita tidak pernah selalunya indah. Ada masa, konflik dalaman turut melanda sehingga menyebabkan berderainya air mata. Kegagalan berkomunikasi, perbezaan pendapat, perasaan ego yang tinggi merupakan punca kepada masalah yang menimpa. Namun sedarkah anda sahabat, semuanya itu sebenarnya tidak terjadi dengan sia-sia. Ianya adalah satu tabiyah yang diturunkan olehNya. Mengajar diri supaya lebih berfikiran terbuka dan bersabar. Ukhwah yang terjalin antara kita makin bertambah erat. Jika dahulu kita bermuram durja, kini kita bisa bergelak tawa. Matlamat yang dituju bersama semakin selari, dan Muscom semakin dekat dihati.

Masih segar diingatan saat ukhuwah berputik. Hadirmu bawa sinaran cahaya inspirasi. Persahabatan yang saya rasa di dalam muscom amat berbeza dengan apa yang saya alami semasa di sekolah dahulu. Ukhuwah disini terasa sangat rapat dan indah. Rakan-rakan muscom sentiasa membantu dan memberikan sokongan yang padu dalam setiap perkara yang dilakukan. Tika diri ini sayu, anda hulurkan ketabahan untukku ukir senyuman. Anda sentiasa menghiburkan, menghilangkan rasa resah dan ketakutan…anda umpama pelindung, menyuluh jalan perjuangan yang sentiasa penuh onak dan duri. Gunung sama didaki, lurah sama dituruni, gelap sama ditempuhi, cerah sama disusuri, sungguhpun kita diuji berulang kali, namun kita tetap setia sebati. Anda telah memberikan 1001 pengajaran yang berharga buat diri saya. Walaupun ada di antara kita yang kurang rapat khususnya dikalangan muslimat, namun melihat kepada cara anda bekerja sebagai muscom secara tidak langsung member pengjaran yang berharga. Andalah teman dikala suka dan duka. Semoga silaturrahim yang terbina kerana Allah menghadirkan ketenangan dalam diri. Bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Uhkuwah menyatukan fikrah, ukhuwah menghadirkan kemanisan dalam beribadah. Tautlah ukhuwah sekencang dakwah.

Jujurnya saya merasa kekosongan setelah meninggalkan muscom. Seperti ada sesuatu yang ‘hilang’ yang lazimnya selalu kita lakukan bersama. Puluhan program telah kita rangka dan laksanakan. Post Mortem untuk setiap aktiviti telahpun kita lakukan. Kini, tiada lagi telatah-telatah sahabat muscom semasa meeting yang sentiasa menghiburkan, tiada lagi celoteh-celoteh sahabat muscom ketika bersama-sama melakukan tugasan, tiada lagi kedengaran suara bendahari berbicara tentang status kewangan, tiada lagi kelihatan sibuknya ahli-ahli muscom berlari kesana, berjogging ke sini dalam menyelesaikan tugasnya. Semuanya kerana bahtera pelayaran muscom 07/08 kini sudah tiba di pelabuhannya. Memberi peluang kepada nakhoda baru mengemudi bahtera dalam menuju matlamat yang satu. Cukuplah setahun pelayaran kita bersama, sungguhpun bakti yang dicurahkan masih tidak memadai dengan masa yang diberi. Semoga nilai-nilai murni yang dipelajari dapat menjadikan kita seorang yang berani dalam memikul tanggungjawab seorang khalifah Allah di muka bumi.

Kepada adik-adik muscom sessi 08/09, teruskanlah perjuangan dalam menyebarkan syiar Islam di bumi Kyuem. Janganlah gentar, mahupun takut dengan cabaran dan tohmahan. Sesungguhnya, pengalaman mematangkan kita, dan banyak mengajar kita erti sebuah kehidupan. Kami akan sentiasa berada disisi anda. Doa kami sentiasa mengiringi perjuangan suci anda. Sekerdil manapun kita, kita tetap pendakwah.

Terima kasih juga kepada ustaz malikie dan ustazah husna. Andalah guru penasihat yang terbaik yang pernah kami miliki. Kelembutan, ketegasan dan ketenangan yang ditunjukkan sering membuatkan kami terus bersemangat, menghiburkan kami ketika kekecewaan melanda, memberikan sinar harapan ketika dirasakan tidak lagi mempunyai harapan, melontarkan bait nasihat yang berharga demi sebuah kebaikan. Ampun dan maaf dipinta atas segala kekurangan diri, yang pernah mengguris mahupun menyinggung perasaan Ustaz dan Ustazah selama ini. Semoga Ustaz dan Ustazah sentiasa dikurniakan rahmat bagi terus menjadi guru penasihat muscom selamanya, sehingga takdir menentukan segalanya.

Untuk akhirnya, buat sahabat muscom sessi 07/08, terima kasih atas kerjasama dan nilai persahabatan yang cukup indah dan berharga. Kenangan pahit manis kita bersama tidak akan saya lupakan.Mohon maaf dipinta andai saya gagal menjadi seorang amir yang baik. Seandainya terdapat kata-kata mahupun tindakan yang menyinggung perasaan, seribu kemaafan dihulurkan. Terima kasih atas teguran dan nasihat dalam memperbaiki diri ini. Semoga berjaya dalam segala bidang yang diceburi. Tamatnya A-level nanti bukannya satu pengakhiran, namun ianya adalah satu permulaan kepada sebuah perjalanan yang lebih mencabar. Dengan baki masa yang tinggal untuk kita bersama, doakanlah mudah-mudahan kita terus diberi petunjuk untuk mensyukuri dan menghargai silaturrahim yang terjalin. Kita berjuang bukan atas dasar kemenangan, tetapi kita berjuang atas dasar kebenaran. Sebarkanlah syiar islam walau dimana sahaja kita berada, kerana Islam itu cahaya. Sungguhpun jarak memisahkan namun tiada noktah kasih. Biarlah waktu yang menentukan nilai ukhuwah yang terjalin. Teruskanlah perjuangan sehingga ke titisan darah yang terakhir, dan diriku terus menanti agar saat yang manis itu akan berulang kembali.

"Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala dari kebajikan yang dikerjakannya dan dia mendapat seksa daripada kejahatan yang diperbuatnya......." Al-Baqarah : 286

Muhammad Afiq bin Kamaruddin

Mantan Presiden MUSCOM 07/08




Wallahua'lam.

 

0 Response to “Ucapan Terakhir Presiden”

Leave a Reply