Bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah
Tinggalkan segala yang meragukan, ambil segala yang diyakini kebenaran...

Kisah buah oren..

Author: Afiq Kamaruddin

Bismillahirrahmanirrahim.

The image “http://tbn0.google.com/images?q=tbn:aP-pbT29d8GK7M:http://www.solarnavigator.net/solar_cola/cola_images/Oranges_Ambersweet.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.

Kuliah subuh pagi tadi disampaikan oleh huzaifah a.k.a Jepah a.k.a Jeff. Sebelum bermula, seperti biasa muzakkir akan mengingatkan para jemaah dan diri sendiri untuk sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah. Lebih-lebih lagi nikmat iman dan islam yang diberikan. Lebih-lebih lagi nikmat solat subuh berjemaah di surau As-Saad, kerana bukannya semua orang dikurniakan nikmat untuk bangun pagi, berjemaah subuh di Surau.

The image “http://tbn0.google.com/images?q=tbn:paf67vUSajDBaM:http://organic.keensdesign.com/downloads/wallpapers/Oranges1280x960.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.

Kuliah subuh pada pagi ini berbentuk cerita. Al kisah di sebuah negara di kepulauan Mediterranean, terdapat seorang petani yang mempunyai biji benih oren yang sangat baik dan bekualiti tinggi. Buah oren keluarannya mendapat permintaan yang tinggi, malah menjadi salah satu daripada sumber ekonomi utama keluarganya. Jika hendak dibandingkan dengan buah-buah oren yang ditanam oleh penduduk kampung yang lain, buah oren petani itu lebih cantik, harum, manis, comel, dan lazat. Semuanya kerana biji benih yang berkualiti tinggi.

Berita tentang biji benih itu mula tersebar secara meluas. Ramai orang datang menemui petani itu untuk meminta sedikit biji benih oren berkualiti tinggi. Petani itu memberi dengan rela hati. Mungkin kerana dia yakin pada prinsip erti hidup pada memberi. Petani itu terus memberi kepada mereka yang memerlukan. Suatu hari, si anak bertanya :

"Ayah, kenapa ayah sanggup bagi biji benih itu kepada orang2 kampung? Bukankah perniagaan kita akan terjejas seandainya ramai orang mempunyai buah oren berbaka baik.."

Jawab si ayah :

"Anakku, sekiranya semua buah di sekeliling kita rosak, ayah khuatir akan berlakunya pendebungaan dalaman (internal breeding) antara benih buah yang rosak dengan benih buah kita yang baik. Nanti hasil buah kita turut akan menjadi rosak. Tetapi sekiranya kacukan itu dengan buah berkualiti tinggi, maka hasilnya pun buah berkualiti tinggi juga..''

Si anak tersenyum dan berfikir sendirian. Benarlah, kebaikan itu milik kita bersama...

Moral daripada cerita ini ialah, kita jangan kedekut/lokek untuk membuat kebaikan atau menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan. Setiap apa yang kita sumbangkan, pasti ada ganjaran yang Allah berikan. Contohnya jika ada rakan bertanya tentang soalan pelajaran, maka raikan permintaannya. Dengan mengajar, kita memberi kebaikan. Dengan kebaikan, kita mendapat pahala. Seandainya pihak MUSCOM memohon bantuan untuk menganjurkan program Islamiah, jangan kedekut untuk menghulurkan. Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.

Moral yang kedua pula adalah, seandainya terdetik di hati kita untuk membuat kebaikan, jangan ditangguh-tangguh. Kerana kita tidak pasti bila nikmat untuk membuat kebaikan itu akan kembali lagi. Maut sentiasa menanti. Sebab itu kita kena sentiasa mempersiapkan diri.

Kemudian, Iqtidar menambah pula dengan konsep keyakinan terhadap ganjaran yang Allah berikan. Dia mengambil contoh kes kahwin. Perkahwinan melengkapkan agama. Dengan perkahwinan, pintu rezeki dan rahmat akan terbuka luas. Justeru, jangan disempitkan perkahwinan dengan pemikiran duniawi sahaja. Kita perlu yakin akan janji-janji Allah, kerana keyakinan yang kukuh meningkatkan keimanan. Begitu juga dengan ganjaran Allah. Tidak semestinya Allah akan membalas dalam bentuk wang. Mungkin Allah membalas dengan menghadirkan ketenangan dalam hidup, rajin belajar, lulus periksa dengan cemerlang, dapat isteri/suami mithali, dan sebagainya. Yang penting, rajin-rajinkan untuk membuat kebaikan dan Yakinlah! Ganjaran Allah pasti menanti.

Sekian sahaja dahulu rumusan daripada saya untuk kuliah subuh pagi tadi. Khusus untuk jemaah muslimat di tingkat atas yang tidak dapat dengar apa yang disampaikan muzakkir dengan jelas (minta maaf banyak2..), serta rakan2 yang tidak berkesempatan untuk menghadiri kuliah subuh pagi tadi.



Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. Al-Baqarah : 262

wallahua'lam.

 

0 Response to “Kisah buah oren..”

Leave a Reply