Bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah
Tinggalkan segala yang meragukan, ambil segala yang diyakini kebenaran...

Bagilah balik tangan Wani...

Author: Afiq Kamaruddin

Bismillahirrahmanirrahim



Sebuah kisah yang dipetik daripada
http://www.inteam.com.my/viewtopic.php?topic=3788&forum=7

Terima kasih kepada bingkisaNurani atas kebenaran ukhti untuk berkongsi artikel ini. Sebuah artikel yang kurasakan cukup menyayat hati dan mempunyai banyak pengajaran yang boleh diteladani. Hayatilah bersama..

Sepasang suami isteri - seperti pasangan lain di kota-kota besar - meninggalkan anak-anak diasuh pembantu rumah semasa keluar bekerja.

Anak tunggal pasangan ini, seorang perempuan yang sangat cantik, comel dan manja, berusia tiga setengah tahun.

Bersendirian di rumah dia kerap dibiarkan pembantunya yang sibuk bekerja bermain diluar, tetapi pintu pagar tetap dikunci. Bermainlah dia sama ada berbuai-buai di atas buaian yang dibeli bapanya, ataupun memetik bunga raya, bunga kertas dan lain-lain di laman rumahnya.

Suatu hari dia terjumpa sebatang paku karat. Dia pun melakar simen tempat letak kereta ayahnya tetapi kerana diperbuat daripada marmar,lakaran tidak kelihatan. Dicubanya pada kereta baru ayahnya.

Ya... kerana kereta itu bewarna gelap, lakarannya jelas kelihatan.Apa lagi kanak-kanak ini pun melakarlah melahirkan kreativitinya. Hari itu bapa dan ibunya bermotosikal ke tempat kerja kerana laluannya sesak sempena perayaan Thaipusam.

Penuh sebelah kanan dia beredar ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan rumah, ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tak disedari si pembantu rumah.

Pulang petang itu, terkejut badaklah pasangan itu melihat kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran, berbatik-batik. Si bapa yang belum pun masuk ke rumah terus menjerit, "Siapa punya kerja ni?" Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar.

Mukanya merah padam ketakutan tambah-tambah melihat wajah bengis tuannya.

Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dia terus mengatakan "Tak tahu... !" "Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu, apa kau buat?" herdik si isteri lagi.

Si anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari bilik.

Dengan penuh manja dan mesra dia berkata "Wani buatlah ayahhh.. cantik kan !"

Bait kata-kata lembutnya menerkam dan memeluk ayahnya ingin bermanja seperti selalu. Si ayah yang hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga raya di depannya, terus dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak mengerti apa-apa terlolong-lolong kesakitan sekaligus ketakutan. Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan diri, Ya, mungkin dia bersetuju dan berasa puas dengan hukuman yang dikenakan keatas anak kandungnya sendiri.

Pembantu rumah melopong dan terkesima, tak tahu nak buat apa-apa. Si bapa cukup rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya.Umpama seekor singa kelaparan yang lahap meratah mangsanya.

Selepas si bapa masuk ke rumah dituruti si ibu, pembantu rumah menggendong anak kecil itu, membawanya ke bilik. Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan si anak kecil calar balar dan penuh luka. Darah mula mengalir setitik demi setitik lalu menjadi deras. Tangisan simpati si anak kecil tidak dipedulikan oleh insan yang melahirkannya. Aduh, kasihan...

Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia menangis. Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik calar-balar itu terkena air. Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah. Sebagai tanda pengajaran konon-kononnya

Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan si anak mula bengkak. Pembantu rumah mengadu kepada ayahnya. "Sapukan sahaja minyak gamat tu sudahlah!" balas tuannya, bapa si anak.

Pulang dari kerja, dia tidak mahu melayan langsung si anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik pembantu. Si bapa konon mahu mengajar anaknya. Hakikatnya dendam kesumat masih lagi membara terhadap si anak yang masih belum mengerti apa-apa.

Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak mahu menjenguk anaknya sementara si ibu juga begitu tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah. Suatu hari, pembantu rumahnya berkata

"Wani demam... " jawap pembantunya ringkas.

"Bagi sahaja minum panadol tu," balas si ibu.

Sebelum si ibu masuk bilik tidur dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya Wani dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu. Mungkin berasa cemburu, namun dendamnya sudah terbalas.

Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas.

"Petang nanti sahaja kita bawa ke klinik. Awal lagi sekarang ini. Pukul 5.00 siap" kata majikannya itu ringkas.

Sampai waktunya si anak yang longlai dibawa ke klinik. Doktor mengarahnya supaya Wani dirujuk ke hospital pakar kerana keadaannya jauh lebih serius daripada yang dijangkakan.

Setelah seminggu di wad pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak malang itu.

"Tiada pilihan.." katanya yang mencadangkan agar kedua-dua tangan kanak-kanak itu dipotong kerana gangren yang terjadi sudah terlalu teruk.

"Ia sudah bernanah, demi nyawanya tangan perlu dipotong dari siku ke bawah" kata doktor.

Si bapa dan ibu tersentak dan tersedu, bagaikan terkena halilintar setelah mendengar kata-kata itu.

Terasa diri tunggang terbalik, tapi apalah yang dapat dikatakan. Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan deraian air mata isterinya, si bapa terketar-ketar menandatangani surat kebenaran pembedahan.

Keluar sahaja dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakan habis kesannya, si anak menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga melihat kedua-dua tangannya berbalut putih.

Direnung muka ayah dan ibunya. Kemudian ke wajah pembantu rumah. Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis.

Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam linangan air mata.

"Abah.. Mama... Wani janji tak buat lagi. Wani tak mau ayah pukul. Wani tak mau jadi jahat. Wani sayang abah.. sayang mama." katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa."Wani juga sayang Kak Narti.." katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

"Abah.. bagilah balik tangan Wani. Buat apa abah ambil.. Wani janji tak buat lagi! Wani nak makan macam mana? Wani nak main macam mana? Wani nak peluk abah dengan mama macam mana? Wani janji tak conteng kereta lagi," katanya bertalu-talu. Bagaikan gugur jantung si ibu, bagaikan dihempas ke batu jantung si ayah mendengar kata-kata anaknya.Hanya tangisan penyesalan yang mampu dicurahkan..

Meraung dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia dapat menahannya...

sama2 lah kita ambil pengajaran daripada kisah ini. Jangan letakkan emosi melebihi akal. kelak kita akan menyesal dengan tindakan yang dilakukan dengan tergesa-gesa. Dikala itu, penyelesalan sudah tidak berguna lagi. Berhati-hatilah..jangan mudah terpedaya dengan pujukan syaitan yang menyesatkan. Semoga kita tergolong dikalangan hambaNya yang saling mengasihi antara satu sama lain.


"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru kepada Tuhannya, sama ada di waktu pagi, tengahari, petang, senja dan malam dengan mengharapkan keredhaan-Nya, janganlah kamu kedua matamu berpaling dari mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini, dan janganlah kamu menuruti orang yang telah Kami lalaikan hatinya daripada mengingati Kami serta menuruti hawa nafsunya, kerana sesungguhnya seluruh hidup mereka adalag melampaui batas (agama)."
(Al-Kahfi : 28)


Wallahua'lam

 

0 Response to “Bagilah balik tangan Wani...”

Leave a Reply