Bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah
Tinggalkan segala yang meragukan, ambil segala yang diyakini kebenaran...

Suratan atau kebetulan

Author: Afiq Kamaruddin

Bismillahirrahmanirrahim

Pagi tadi telah berlangsunglah peperiksaan percubaan bagi subjek Fizik dan Mechanics. Kombinasi subjek yang boleh dikatakan 'killer' bagi student sains fizikal. Mana tidaknya, jika hendak dibandingkan dengan past paper 5 tahun yang lalu, 'trend' soalan seakan-akan sudah mengalami satu revolusi yang baru. Soalan yang memerlukan calon berfikir 'out of the box, but not too far from the box..' Secara jujurnya, saya mengalami kesulitan dalam menjawab soalan fizik tadi. Kali ini lebih banyak soalan pengiraan daripada penjelasan teori. Lama juga masa yang saya peruntukkan untuk sesetengah soalan, sehingga tidak dapat menyemak kembali jawapan. Hanya sepintas lalu sahaja. Jelas menunjukkan saya masih lagi lemah dalam subjek ini. Masih perlu diperbaiki lagi. Masih ada masa lagi untuk berubah! Masih ada 1 bulan lagi sebelum A-level yang sebenar. Lega kertas 4 Fizik sudah berlalu, tetapi berdebar-debar menantikan keputusan.Ya Allah, bantulah hambaMU ini !

Mechanics yang menyedihkanku

Subjek seterusnya, Mechanics. Subjek yang boleh dikatakan 'advantage' bagi pelajar yang mengambil Fizik kerana merupakan salah satu daripada Syllabus. Mechanics berkait rapat dengan pergerakan sesuatu objek atau sistem. 'Motion'. Masa yang diperuntukkan adalah 1 jam 15 minit. Apa yang menyedihkan, saya terlupa untk membuat soalan terakhir. Soalan no.7 yang bernilai 11 markah. 30 minit masa yang terluang setelah menyudahkan 6 soalan yang pertama (saya pun tak pasti betul ke tidak jawapannya..) digunakan untuk menyemak kembali soalan 1 sehingga 6. TIDAK terlintas atau tergerak dalam hati saya untuk menyelak helaian terakhir kertas soalan yang mengandungi soalan terakhir bernilai 11 markah. Saya hanya menyedari kewujudannya pada minit yang terakhir..yang mana masa itu sudah tidak sempat untuk berbuat apa-apa. Hanya mampu melihat 11 markah 'terbang' dibuai angin begitu sahaja...

Perasaan ketika itu sukar untuk digambarkan. Bercampur baur. Sedih, kecewa, marah terhadap diri sendiri, dan bermacam-macam lagi. Sungguh kelalaian dalam menguruskan perkara yang serius menunjukka kelemahan diri saya. Setelah selesai ujian, saya tidak mampu berkata apa-apa melainkan terus menuju ke surau untuk memuhasabah diri kembali. Kenapa ditakdirkan hati saya TIDAK tergerak untuk menyelak helaian yang terakhir. Kenapa tidak pernah terlintas langsung difikiran untuk menyemak kerta soalan seperti lazimnya? Persoalan yang akhirnya ku temui jawapannya..

Setiap yang berlaku itu bersebab, hikmahnya dinilai berdasarkan pengajaran

Perasaan sedih bercampur baur itu mulai surut setelah mendengar tazkirah asar petang tadi. Zaim menyentuh soal ujian. Menurutnya, kita mungkin sudah membuat persediaan yang rapi sebelum ujian, tetapi apabila tiba saatnya, persediaan tersebut tidak dapat membantu kita untuk mengatasinya. Mungkin kerana kita terlupa dengan bekalan yang dibawa, atau mungkin kerana Allah ingin mengajar kita tentang sesuatu perkara yang sebelum ini kita lupa. Terima kasih juga kepada Mu'adz atas nasihat yang kurasakan 'sweet and simple'. Katanya :

'bersabarlah.., sungguhpun perkataan sabar itu 'kecil' (dua suku kata sahaja), namun ganjarannya BESAR disisi Allah bagi mereka yang bersabar..'

Usrah pada malam itu juga menyentuh soal ujian. Alhamdulillah, saya berpeluang berkongsi pengalaman serta pengajaran daripada ahli-ahli usrah yang hadir. Terima kasih semua. Apabila saya memuhasabah diri kembali ( seperti yang sering disarankan oleh Mr.Zaidi), baru saya sedar, bahawa diri saya ini sangat lemah dan khilaf disisi Allah. Banyak sekali dosa yang dilakukan, berulang kali berjanji untuk tidak melakukan dosa dalam setiap doa yang dibaca, namun sering kali janji itu tak ditepati. Hanya Allah dan diri yang tahu apa yang tesembunyi di hati. Benarlah, bahawa setiap perkara yang berlaku, samada baik atau buruk, pasti ada pengajaran dan hkmahnya.

Ujian adalah tarbiyah dari Allah

Bagi mereka yang ditimpa musibah, banyakkanlah bersabar dan bersyukur. Itu tandanya Allah sayang dan ingat pada kita. Allah ingin menyedarkan kita yang mungkin selama ini kita jauh atau lupa padaNya. bersyukurlah kerana kita tidak dikurniakan istidraj yang boleh membuatkan kita lebih jauh daripadaNya. Sesungguhnya, hidup ini adalah satu proses pembelajaran. Seorang Muslim yang beriman tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama buat kali kedua. Semoga peristiwa ini lebih mematangkanku dalam menghargai makna sebuah kehidupan. Esok ada Chemistry paper 5. Akan ku pastikan pisang tidak berbuah 2 kali!. InsyaAllah...

Wallahua'lam

 

0 Response to “Suratan atau kebetulan”

Leave a Reply