Keliru...
Author: Afiq Kamaruddin
Bismillahirrahmanirrahim...

UCAS dalam kenangan.
Author: Afiq Kamaruddin
Bismillahirrahmanirrahim
Semasa sedang melayari internet, tiba-tiba ada mesej masuk daripada UCAS. Gembira, syukur, dan bertuah rasanya apabila menerima 'conditional offer' daripada University College London (UCL) bagi mengikuti program sarjana muda (MEng) dalam kursus 'Mechanical Engineering'. Mana tidaknya, UCL merupakan antara universiti pilihanku selain Imperial College(IC). Jika IC mahukan AAA, UCL hanya mahukan ABB.
Namun perasaan gembira yang berbunga itu tidak lama, sekejap sahaja yang dapat saya rasakan...hanya beberapa saat sahaja setelah melihat conditional offer terpapar di skrin komputer..hakikatnya berbeza dari apa yang saya impikan. Saya perlu menerima kenyataan yang saya tidak berpeluang pergi ke UK atas kontrak yang telah dimetrai dengan pihak penaja satu ketika dahulu...UCAS hanya tinggal kenangan, UK hanya tinggal angan-angan...semua 'offer' dari UCAS yang telahpun saya dapat bakal menjadi kenangan indah yang tidak dapat saya lupakan. Menggapai kembali memori bersama saat-saat manis dengan kenalan sahabat di KYUEM...menanti saat kita dipisahkan oleh dua benua yang berbeza..dan Australia terus melambai-lambai, menanti kaki ini memijak di bumi bertuah itu. Saya yakin, itulah pilihan yang terbaik bagiku. Syukur Alhamdulillah kerana diberikan nikmat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi, jika hendak dibandingkan dengan mereka yang tidak diberikan peluang ini. Perjalanan saya masih jauh..tanggungjawab yang dipikul bertambah berat..masa semakin suntuk..takkanku persiakan peluang ini. Terima kasih sahabat2 di Kyuem sekalian atas nilai persahabatan yang tidak ternilai harganya...memori indah bersamamu tidak akan ku lupakan.
Cricket Biz
Author: Afiq Kamaruddin
Bismillahirrahmanirrahim
I just want to share some information regarding this game. Hopefully it can trigger some of your passion to try to play this game. Indeed, it is worth it! Though you are sacrificing yourself to be burned by the electromagnetic radiation under the blazing heat of the mighty sun. Satisfaction guarantees! =)
cricket pitch and 'stumps' which are the bull's eye of every desired bowlers


The bat and the ball. The ball is sewned by high quality leather. It costs nearly RM100 each

Some of the scenarios of batting and bowling. I am waiting for that moment to come again one day InsyaAllah! =)
Howzaaat!!!!
Author: Afiq Kamaruddin
Bismillahirrahmanirrahim.
Sukan kriket - merupakan sukan yang kurang mendapat perhatian ramai d Malaysia jika dibandingkan dengan Australia, India, New Zealand, West Indies dan sebagainya. Mula tertarik dengan sukan ini semasa akhir tahun tingkatan 1. Zaman itu merupakan zaman kegemilangan STAR dalam arena kriket. Ramai senior terpilih untuk mewakil negeri, malah ada juga yang terpilih untuk menjadi kapten pasukan Malaysia bagi kejohanan kriket peringkat antarabangsa. Seorang senior, namanya Yushairy, House green..orang panggil Soyat. Dialah orangnya. Badannya kecil sahaja namun boleh mewakili negara. Hurm..size does not matter kan..asalkan berbakat.
Masa itu, 'cricket cage' - tempat 'batsman' berlatih memukul bola berada betul-betul di hadapan asrama tingkatan 2. Setiap petang mesti nampak senior-senior berlatih. Nampak menarik juga. Khususnya bila melihat senior membaling bola - 'bowling' serta memukul bola - 'batting' bagi mendapatkan markah dalam bentuk larian, sungguh bergaya, ada style!. Permainan kriket juga menguji kecekapan dan kepantasan refleks khususnya bagi para 'fielders' untuk menangkap atau menghalang bola pukulan batsman daripada merentasi 'boundaries'. Agak berbahaya juga kerana momentum bola yang diterima amat kuat. Based on the equation : p =mv , product of mass of object and its velocity. Sebab itu bagi fielder yang berada di posisi 'Point' atau 'Mid-On', mereka dikehendaki memakai pelindung muka.
Pernah seorang kawan patah tangan kerana menangkap bola kriket yang berkelajuan tinggi umpama peluru. Tidak kurang juga ada yang terpaksa menjalani pembedahan memasukkan besi di dalam tangan kerana tisu koyak serta tulang patah semasa membuat balingan spinner. Persamaan sukan kriket dan baseball adalah dari segi teknik pengutipan markah (runs), pembaling dan pemukul - cuma dalam sukan baseball disebut pitcher and hitter. Bagi kriket pula disebut batsman, bowler, and fielders. Sungguh permainan ini sangat seronok dan mencabar.
Masa permainan? Bergantung kepada berapa banyak Overs yang dimainkan. 1 Over bersamaan 6 kali balingan. Kebiasaannya di peringkat sekolah kami hanya bermain sebanyak 10 - 15 overs. Tetapi semasa diperingkat kebangsaan, kami bermain sebanyak 30 overs. Sangat lama permainan ini. Malah boleh mengambil masa berhari-hari. Tidak dinafikan kebanyakan pemain kriket mempunyai jumlah vintamin D yang banyak kerana terlalu lama berjemur di tengah padang yang panas. Nasihat saya sebelum bermain kriket, dapatkan air yang banyak serta sapulah losyen.
Teringat kembali saat mewakili negeri perak semasa kejohanan kriket MSSM bawah 15 tahun dahulu. Pasukan perak diketuai oleh seorang pemain kriket negara bawah 15 tahun. Orangnya sasa. Balingannya laju, pukulannya amat jauh sekali. Match pertama menentang negeri Pulau Pinang. Kebanyakkannya pemain dari Penang free School. Majoriti pemain pasukan Perak adalah orang india kerana ini sukan tradisi mereka. Tidak ramai orang melayu yang terpilih. Daripada 20 orang termasuk simpanan, seingat saya hanya ada 7 orang sahaja. 3 daripada STAR, 2 daripada MCKK, 1 daripada SMK Anderson, dan 1 lagi daripada SMKA Ampang.
Perlawanan pertama dengan Pulau Pinang kami terpaksa seri. Amat memalukan dan mengecewakan jurulatih, Mr.Vicky. Perlawanan kedua pula menentang Kedah yang dbarisi ramai pemain kebangsaan. Perlawanan penentu bagi kami mara ke pusingan seterusnya, namun tuah ayam nampak dikaki,tuah manusia siapa yang tahu.. kami tewas dengan pasukan kedah. Sekaligus mengagalkan diri layak ke pusingan kedua bertemu Johor. Kalah menang perkara biasa dan kita terpaksa redha. Pengalaman dan pengajaran itu yang penting kerana ia mematangkan kita. Jadi apa tunggu lagi, jom kita bermain kriket...dapat menyihatkan badan..dapat menikmati 'sun bath'..cuma di KYUEM tiada kelab kriket, kena tunggu kat Australia nanti =)..Howzaat!!!!
Subuh yang sepi...
Author: Afiq Kamaruddin
Bismillahirrahmanirrahim
Pagi ini cuaca agak sejuk sikit berbanding semalam. Kalau diikutkan, begitu nikmat rasanya tidur dalam suasana sejuk, ditambah lagi dengan kesuaman selimut tebal, bertemankan suasana chalate yang sunyi sepi dan gelap gelita tanpa cahaya. Namun, besar lagi nikmat seandainya kita bangun untuk solat subuh, malah dilipat gandakan lagi nikmat seandainya kita solat subuh secara berjemaah di rumah Allah. Alhamdulillah, beruntunglah bagi mereka yang dijemput diri dan jiwa mereka berjemaah di rumah Allah.
Suasana subuh di KYUEM sentiasa sunyi dan sepi. Yang kedengaran hanya bunyi unggas sahaja. Mungkin mereka sedang berzikir dan bertasbih memuji Allah. Setahu saya, semua hidupan di dunia ini sentiasa bertasbih dan berzikir mengingati Allah melalui 'kaedah' mereka sendiri. Hembusan angin, deraian ombak, kicauan burung, gunung ganang, tumbuh-tumbuhan, cakerawala serta hidupan liar semuanya berzikir memuji Allah. Itu hidupan yang dikurniakan naluri, tetapi tidak dikurniakan akal. Bagaimana pula dengan kita yang dikurniakan akal untuk membezakan baik dan buruk? Seandainya semua hidupan sentiasa berzikir memuji Allah tetapi kita jarang sekali berbuat demikian, dimanakah kedudukan kita selaku 'sebaik-baik kejadian'? Tepuk dada, tanya iman.
Jumlah jemaah yang hadir seperti biasa, hanya satu saf sahaja jika hendak dibandingkan dengan suasana ketika bulan puasa. Mungkin kerana alang-alang bangun sahur, singgah sebentar ke surau. Kalau tiada sahur macam mana? Persoalan itu ditujukan kepada diri kita sendiri.
Kuliah subuh pada hari ini membicarakan perihal mati. Menurut muzakkir, terdapat 3 situasi jiwa ketika menghadapi saat sakaratul maut :
- Jiwa berasa takut dan tidak bersedia untuk menghadapi mati kerana diri sering bergelumang dengan dosa dan maksiat. Seperti mana yang terjadi ke atas golongan-golongan yang berpaling dari jalan Allah.
- Jiwa yang tenang dan sentiasa mengalu-alukan kematian. Sudah bersedia menghadapi maut. Baik dari segi fizikal mahupun rohani. Seperti kisah para wali Allah.
- Jiwa yang sentiasa melakukan amal soleh tetapi berasa sedih dan takut untuk menghadapi maut kerana dikhuatiri amal soleh yang dilakukan tidak banyak dan mampu memberatkan neraca amalan. Seperti kisah para sahabat.
Muzakkir juga ada menyelit tentang kelebihan bangun awal, khususnya sebelum subuh. Disamping kita dapat melakukan solat sunat, tahajud,hajat, etc..pada masa itu juga merupakan masa yang mustajab untuk penyerapan ilmu. Kondisi otak kita berada dalam keadaan yang segar. Waktu yang sesuai untuk belajar.
Insyaallah, hari ini paper 5 Chemistry. Belum pernah buat lagi dalam kelas. Ini kali pertama saya mendudukinya secara formal. Insyaallah, semoga segalanya berjalan lancar. Berusahalah kepada semua rakan seperjuangan!! Mari kita dapatkan keputusan yang terbaik...
Wallahua'lam
Suratan atau kebetulan
Author: Afiq Kamaruddin
Bismillahirrahmanirrahim
Pagi tadi telah berlangsunglah peperiksaan percubaan bagi subjek Fizik dan Mechanics. Kombinasi subjek yang boleh dikatakan 'killer' bagi student sains fizikal. Mana tidaknya, jika hendak dibandingkan dengan past paper 5 tahun yang lalu, 'trend' soalan seakan-akan sudah mengalami satu revolusi yang baru. Soalan yang memerlukan calon berfikir 'out of the box, but not too far from the box..' Secara jujurnya, saya mengalami kesulitan dalam menjawab soalan fizik tadi. Kali ini lebih banyak soalan pengiraan daripada penjelasan teori. Lama juga masa yang saya peruntukkan untuk sesetengah soalan, sehingga tidak dapat menyemak kembali jawapan. Hanya sepintas lalu sahaja. Jelas menunjukkan saya masih lagi lemah dalam subjek ini. Masih perlu diperbaiki lagi. Masih ada masa lagi untuk berubah! Masih ada 1 bulan lagi sebelum A-level yang sebenar. Lega kertas 4 Fizik sudah berlalu, tetapi berdebar-debar menantikan keputusan.Ya Allah, bantulah hambaMU ini !
Mechanics yang menyedihkanku
Subjek seterusnya, Mechanics. Subjek yang boleh dikatakan 'advantage' bagi pelajar yang mengambil Fizik kerana merupakan salah satu daripada Syllabus. Mechanics berkait rapat dengan pergerakan sesuatu objek atau sistem. 'Motion'. Masa yang diperuntukkan adalah 1 jam 15 minit. Apa yang menyedihkan, saya terlupa untk membuat soalan terakhir. Soalan no.7 yang bernilai 11 markah. 30 minit masa yang terluang setelah menyudahkan 6 soalan yang pertama (saya pun tak pasti betul ke tidak jawapannya..) digunakan untuk menyemak kembali soalan 1 sehingga 6. TIDAK terlintas atau tergerak dalam hati saya untuk menyelak helaian terakhir kertas soalan yang mengandungi soalan terakhir bernilai 11 markah. Saya hanya menyedari kewujudannya pada minit yang terakhir..yang mana masa itu sudah tidak sempat untuk berbuat apa-apa. Hanya mampu melihat 11 markah 'terbang' dibuai angin begitu sahaja...
Perasaan ketika itu sukar untuk digambarkan. Bercampur baur. Sedih, kecewa, marah terhadap diri sendiri, dan bermacam-macam lagi. Sungguh kelalaian dalam menguruskan perkara yang serius menunjukka kelemahan diri saya. Setelah selesai ujian, saya tidak mampu berkata apa-apa melainkan terus menuju ke surau untuk memuhasabah diri kembali. Kenapa ditakdirkan hati saya TIDAK tergerak untuk menyelak helaian yang terakhir. Kenapa tidak pernah terlintas langsung difikiran untuk menyemak kerta soalan seperti lazimnya? Persoalan yang akhirnya ku temui jawapannya..
Setiap yang berlaku itu bersebab, hikmahnya dinilai berdasarkan pengajaran
Perasaan sedih bercampur baur itu mulai surut setelah mendengar tazkirah asar petang tadi. Zaim menyentuh soal ujian. Menurutnya, kita mungkin sudah membuat persediaan yang rapi sebelum ujian, tetapi apabila tiba saatnya, persediaan tersebut tidak dapat membantu kita untuk mengatasinya. Mungkin kerana kita terlupa dengan bekalan yang dibawa, atau mungkin kerana Allah ingin mengajar kita tentang sesuatu perkara yang sebelum ini kita lupa. Terima kasih juga kepada Mu'adz atas nasihat yang kurasakan 'sweet and simple'. Katanya :
'bersabarlah.., sungguhpun perkataan sabar itu 'kecil' (dua suku kata sahaja), namun ganjarannya BESAR disisi Allah bagi mereka yang bersabar..'
Usrah pada malam itu juga menyentuh soal ujian. Alhamdulillah, saya berpeluang berkongsi pengalaman serta pengajaran daripada ahli-ahli usrah yang hadir. Terima kasih semua. Apabila saya memuhasabah diri kembali ( seperti yang sering disarankan oleh Mr.Zaidi), baru saya sedar, bahawa diri saya ini sangat lemah dan khilaf disisi Allah. Banyak sekali dosa yang dilakukan, berulang kali berjanji untuk tidak melakukan dosa dalam setiap doa yang dibaca, namun sering kali janji itu tak ditepati. Hanya Allah dan diri yang tahu apa yang tesembunyi di hati. Benarlah, bahawa setiap perkara yang berlaku, samada baik atau buruk, pasti ada pengajaran dan hkmahnya.
Ujian adalah tarbiyah dari Allah
Bagi mereka yang ditimpa musibah, banyakkanlah bersabar dan bersyukur. Itu tandanya Allah sayang dan ingat pada kita. Allah ingin menyedarkan kita yang mungkin selama ini kita jauh atau lupa padaNya. bersyukurlah kerana kita tidak dikurniakan istidraj yang boleh membuatkan kita lebih jauh daripadaNya. Sesungguhnya, hidup ini adalah satu proses pembelajaran. Seorang Muslim yang beriman tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama buat kali kedua. Semoga peristiwa ini lebih mematangkanku dalam menghargai makna sebuah kehidupan. Esok ada Chemistry paper 5. Akan ku pastikan pisang tidak berbuah 2 kali!. InsyaAllah...
Wallahua'lam
Bila merasa hempedu, jangan dilupakan kemanisan gula yang lalu
Author: Afiq Kamaruddin
Bismillahirrahmanirrahim
Menjelang musim exam, agak sukar untuk menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang lain selain daripada exam. Lebih-lebih lagi apabila berada di semester terakhir pengajianku di KYUEM. Kekangan masa untuk mengulang kaji pelajaran, signal internet yang lemah dan sering fluctuate di chalate p07 Kampung Topaz, ditambah dengan had kemampuan akal saya yang perlu menumpukan perhatian pada satu perkara pada satu masa bagi mendapatkan keputusan yang terbaik, merupakan cabaran yang terpaksa dihadapi. Namun, walau apa jua yang kita lakukan, biarlah secara beristiqamah, sungguhpun nilainya sedikit di sisi manusia. Namun di sisi Allah, perbuatan yang dilakukan secara istiqamah amat tinggi darjatnya sungguhpun kecil, apatah lagi kalau perkara yang besar. Begitu Maha pemurahnya Allah kepada hambaNya.Sungguh sayang Allah pada kita kan.Mudah kan nak dapat pahala? Hanya perlu beristiqamah sahaja. Tetapi sungguh susah untuk beristiqamah kerana adanya nafsu dalam diri yang sering bertindak berlawanan dengan apa yang kita inginkan. Tambahan pula, iman kita ini sentiasa bertambah dan berkurang – al yazid wa yanqus. Kalau dalam bahasa physics disebut fluctuate. Cuma kadang-kadang kita sering terlupa akan hakikat ini dek kerana terlalu asyik mengejar sesuatu yang jauh, sehingga yang dekat dilupakan. Umpama mengejar bayang-bayang, dilihat ada, tetapi bila ditangkap ianya hilang. Haruskah kita mencari apa yang tidak pasti?
Petang tadi, saya tertarik dengan tazkirah asar yang disampaikan oleh mantan Setiausaha MUSCOM 07/08, saudara Mua’dz. Beliau menceritakan perihal mensyukuri nikmat Allah. Menurut Mua’dz, selaku seorang muslim yang mukmin, kita sentiasa perlu bersyukur kepada Allah dengan sesungguh-sungguhnya. Antara sedar atau tidak, begitu banyak sekali nikmat yang Allah telah berikan. Cuba kita kenang-kenang kembali kisah-kisah silam. Bermula sejak hari kita dilahirkan kedunia ini. Hidup ini juga adalah satu nikmat Contoh nikmat terbesar yang diungkapkan oleh Mua’dz adalah nikmat solat secara berjemaah di surau. Bukan semua orang dikurniakan nikmat ‘kekuatan’ ini kerana kebiasaannya jumlah bilangan jemaah yang hadir ke surau bagi solat fardhu tidak menyamai jumlah sebenar populasi golongan Muslim di KYUEM . Justeru, bersyukurlah bagi mereka yang digerakkan hatinya oleh Allah untuk berjemaah di surau. Bagi yang tidak berkesempatan tetapi punyai kesedaran, berdoalah dan berusahalah untuk melawan nafsu bisikan syaitan, Insyaallah yakinlah bahawa Allah pasti akan memberi hidayah kepada mereka yang mencari.
Menurut Mua’dz lagi, adakalanya Allah akan menarik nikmat yang dikurniakan kepada kita. Di sini saya ingin mengulas bahawa Allah boleh menarik sesuatu nikmat berdasarkan beberapa perkara. Antaranya kerana ingin memberi balasan, atau merendahkan martabat seseorang seperti yang berlaku kepada Firaun, Qarun, Hamman dan mereka yang mengingkari Allah. Allah juga boleh menarik sesuatu nikmat daripada kita kerana ingin menguji sejauh mana tahap keimanan yang ada dalam diri kita.Sejauh mana kita yakin terhadap ketentuan Allah. Sejauh mana kita bergantung harap kepada Allah. Sebagai contoh, ujian yang Allah timpakan kepada nabi Ayub, para rasul terdahulu, para sahabat, serta orang-orang yang beriman. Maka, bolehlah kita perhalusi bahawa setiap nikmat yang dikurniakan Allah sebenarnya merupakan satu ujian. Seandainya kita lulus dalam ujian itu, maka nikmat yang Allah kurniakan itu merupakan sebuah hadiah atau ganjaran yang tidak ternilai. Seandainya kita gagal, maka sesungguhnya nikmat itu bakal membawa kita ke kancah kehancuran.
Dalam kehidupan, kita tidak pernah lari dari ujian. Gagal dalam peperiksaan, gagal untuk mendapat sesuatu yang dihajatkan, gagal mencari jodoh, tekanan perasaan serta emosi, masalah hati serta kemiskinan harta, semuanya merupakan antara bentuk-bentuk nikmat yang Allah berikan kepada kita. Nikmat yang datang dalam bentuk ujian. Seandainya kita berada dalam senario tersebut, sentiasa ingat terhadap jutaan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita dahulu. Sudah pasti jauh lebih banyak daripada apa yang pernah terlintas difikiran. Adakah kita perlu berasa tertekan, putus asa, atau terus putus harapan kepada Allah kerana tidak mendapat sesuatu yang dihajatkan, sedangkan pada hakikatnya nikmat yang telahpun Allah berikan kepada kita tersangatlah banyak.Maka, disini perlunya hadir konsep mensyukuri nikmat yang diberi samada baik mahupun buruk kerana ianya adalah ketentuan Allah juga. Berasa cukup dengan apa yang ada serta menghargai setiap nikmat kurniaan Allah dengan mengikuti suruhannya, serta menjauhi larangannya. Nikmat yang Allah beri boleh mencetus kesedaran untuk kita lebih bersungguh-sungguh dan tekun bagi menjadi seorang muslim mukmin yang professional. Tabah dan sabar antara elemen penting dalam konsep syukur. Kesemuanya bergerak seiring. Insyaallah, selangkah kita rapat kepadaNya, seribu langkah Allah akan rapat kepada kita.
Wallahua’lam











Terkini